Isu ‘Ambil Tanah Kubur’ Nurly Shahirah: Keluarga Pasang Tali Penghadang Elak Amalan Khurafat!

Sehingga hari ini, tragedi nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada 9 Jun lalu masih menjadi topik hangat di kalangan masyarakat. Kejadian tersebut turut membuka mata ramai terhadap sikap pemandu kenderaan berat yang kadangkala mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya.

Namun, bagi keluarga Allahyarham Nurly Shahirah, kehilangan cahaya mata yang berusia 23 tahun itu membawa kesan yang mendalam dan berbeza. Nurly bukan sekadar seorang pelajar biasa, beliau merupakan seorang penghafaz 30 juzuk Al-Quran ketika menuntut di Sekolah Menengah (SM) Imtiyaz, Besut, Terengganu.

Rumah dan kubur arwah Nurly Shahirah sentiasa dikunjungi orang ramai. -Foto Facebook Ahmad Nazrul

Kisah kecintaan arwah terhadap agama dan usaha gigihnya dalam menghafaz Al-Quran tersebar luas selepas insiden nahas itu. Masyarakat mengambil peluang menziarahi kuburnya untuk mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.

- IKLAN -

Namun, di sebalik kunjungan yang tidak putus-putus itu, timbul kisah kurang enak apabila terdapat segelintir pihak yang mengambil tanah dari kubur Allahyarham. Perkara ini menimbulkan keresahan dalam kalangan keluarga dan masyarakat sekitar.

Al-Quran tulisan tangan arwah Nurly Shahirah menjadi tumpuan orang ramai.

Menurut seorang pengguna Facebook, Ahmad Nazrul, langkah pencegahan telah diambil dengan memasang tali penghadang di kawasan kubur bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. Beliau turut menegaskan bahawa tujuan menziarahi kubur sepatutnya hanya untuk berdoa dan mengingatkan diri tentang kematian, bukan untuk membawa pulang tanah kubur.

“Tidak semua, tetapi ada yang mengambil tanah kubur dan meletakkannya dalam poket atau plastik, ada juga yang menggunakannya untuk disapu pada muka anak. Oleh itu, tali penghadang akan dipasang bagi menjaga kawasan kubur,” katanya.

Tanah perkuburan Allahyarham tidak pernah putus daripada kunjungan orang ramai yang mahu mendoakan kesejahteraan arwah.

Amalan menziarahi kubur adalah sunat dan dianjurkan dalam Islam dengan niat yang betul, seperti mengingatkan kematian dan menanam rasa insaf. Namun, mengambil tanah kubur orang alim atau mana-mana kubur adalah dilarang kerana ia boleh membawa kepada amalan khurafat dan fitnah.

Dengan tindakan pihak keluarga memasang penghadang, diharapkan insiden yang tidak diingini dapat dielakkan serta menjaga maruah dan kesucian kubur Allahyarham Nurly Shahirah.