Suami datang lamar Ina Naim bawa ‘resume’, banyak persamaan dengan arwah Suhaimi Saad
MEMILIKI banyak persamaan dengan Allahyarham Suhaimi Saad membuatkan penyanyi Ina Naim terbuka hati memilih Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor sebagai suami.
Ina atau Nordiana Mohd Naim, 40, berkata Khairul, 41, merupakan seorang lelaki yang penyabar dan penyayang serta mampu menyenangi hati anak-anaknya.
“Persamaannya sangat banyak dengan arwah (suami) itu yang buatkan saya tertarik. Khairul juga seorang yang sangat penyabar dan penyayang orangnya.
“Saya lihat dia menghantar mesej dengan anak-anak saya dan respon anak-anak saya juga baik, mudah untuk menerima apa yang Khairul ajar.
Khairul mahu memberi bimbingan terbaik buat Ina dan anak-anak.
“Itulah yang dikatakan qada dan qadar. Rukun iman yang keenam. Kita tidak boleh tentukan nasib kehidupan kita macam mana. Sekarang ini saya sudah menjadi isteri kepada Khairul. Itu adalah takdir Allah, Alhamdulillah,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Ina meluahkan rasa syukur kerana dia kini sudah kembali bergelar isteri dan terlepas daripada fitnah orang ramai.
Kata Ina, memegang gelaran ibu tunggal terlalu berat dan keputusan untuk memilih Khairul sebagai suami juga bukan mudah.
“Saya rasa bersyukur kerana terlepas daripada sebarang fitnah. Biasalah bila hidup sebagai ibu tunggal banyak fitnah di luar. Alhamdulillah Allah selamatkan saya daripada fitnah-fitnah itu.
“Agak lama juga saya buat keputusan untuk bernikah lagi. Tapi bila dia (Khairul) datang bawa resume, saya terima keikhlasan yang ada pada dia, keduanya saya rasa dia boleh bantu saya untuk meneruskan perjuangan sebagai bapa untuk mengajar anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Khairul yang juga merupakan seorang jurutera memberitahu dia terbuka hati menerima Ina sebagai isteri kerana mahu membela nasib ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Malah berbekalkan pengalamannya sebagai pendidik, Khairul yakin dapat membimbing anak-anak tirinya itu menjadi individu lebih baik.
“Apa yang saya nampak, ini (pernikahan) peluang untuk amal jariah. Bila saya tengok ada empat orang anak yatim dan seorang ibu tunggal untuk dibela nasibnya, saya rasa kena ambil peluang ini.
Persamaannya sangat banyak dengan arwah (suami) itu yang buatkan saya tertarik.
INA NAIM
PENYANYI
“Alhamdulillah Allah kurniakan saya pengalaman sebagai seorang pendidik. Sebelum ini saya bekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya cadangkan kepada Ina perancangan untuk anak-anak agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dan membesar menjadi individu lebih baik,” katanya.
Pada pagi Jumaat, Ina dan Khairul selamat diijab kabulkan dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang diadakan di Felcra Sg Ara, Kota Tinggi, Johor.
Pengantin lelaki yang merupakan duda dua anak itu menyerahkan mas kahwin RM100, kelengkapan solat, seutas gelang emas serta sebentuk cincin dan lima dulang hantaran.
Ina (tengah) selamat dinikahkan dengan Khairul pada pagi Jumaat.
Manakala, wang hantaran pula sebanyak RM7,000.
Untuk rekod, sebelum ini Ina pernah mendirikan rumah tangga dengan Suhaimi pada 12 Oktober 2007 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phryosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Suhaimi kemudiannya meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat masalah kesihatan yang juga menyebabkan organ dalaman tidak berfungsi.
Suhaimi juga merupakan bekas anggota kumpulan nasyid Inteam.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.