Bodyguard Fazura dedah ada orang ketiga, – ‘Puas hati kau penyondol?’

KERETAKAN rumah tangga pasangan sensasi, Nur Fazura dan Fattah Amin semakin hangat diperkatakan apabila pengawal peribadi aktres itu mendedahkan ada ‘penyondol’ yang menjadi pencetus konflik itu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story, individu yang dikenali sebagai Shahaszrin itu telah berkongsi foto sedang makan bersama Fazura, pengurus Fazura iaitu Iman Tang, pembantu peribadi serta seorang wanita yang wajahnya ditutup menggunakan emoji haiwan.

“Misi menyondol berjaya. Orang belanja kau makan cendol bukan suruh menyondol. Puas hati kau sekarang perempuan? Merosakkan rumah tangga orang.

“Ingat segala video pengakuan kau, pengakuan di WhatsApp, gambar ‘hidden’ apa yang berlaku luar dan dalam hari kejadian dan segala aktiviti tidak bermoral sudah dihantar ke tempat sepatutnya.

“Tak perlu ‘create’ kau hanya tempat mengadu sahaja. Pandai putar belit. Kau hebat dalam bab ‘play victim’,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Dalam hantaran lain, Shahaszrin turut mendoakan agar urusan majikannya dipermudahkan.

“Apa pun terjadi, aku harap semoga segala urusan dua insan yang aku sayang ni dipermudahkan.

“Mereka berdua baik dengan aku dan keluarga aku. Aku doakan dan harapkan yang terbaik untuk dua insan ini,” tulisnya.

TANGKAP layar hantaran terkini Shahaszrin mengenai rasa kecewanya terhadap wanita yang didakwa mengganggu rumah tangga majikannya.

Tambahnya lagi, bukan niatnya untuk pendedahan ini menjadi viral sebaliknya sekadar ingin meluahkan kekecewaan terhadap apa yang terjadi.

“Kenapa aku rasa marah dan kecewa? Sebab aku sangat hormat dan sayang Fattah serta Fazura. Bila jadi macam ni memang aku sangat marah dan sedih,” jelasnya.

Hasil carian Kosmo! Online mendapati wajah wanita yang ditutup menggunakan emoji haiwan tersebut merupakan wanita yang dikatakan pernah menjadi penata gaya tudung kepada Fazura.

Sebelum ini spekulasi mengenai Fattah yang dikatakan curang dengan wanita itu hangat diperkatakan netizen dalam media sosial.

Fazura juga dikatakan sudah tidak lagi mengikuti akaun wanita tersebut dalam Instagram.

Walau bagaimanapun Fattah terus diam membisu tanpa menafikan atau mengiyakan kontroversi mengenai dirinya itu.

Terdahulu, semalam Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 40, telah memfailkan penceraian terhadap Fattah Amin, 34 di Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Pasangan itu telah berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Kredit-K

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.