Dah Hampir 3 Dekad Berjuang, Rita Rudaini Akhirnya Terima Penghargaan Ini!

Pada 23 Jun 2025, pelakon Rita Rudaini Mokhtar menerima satu lagi penghormatan dalam perjalanan seninya apabila dianugerahkan Pingat Jasa Baik (PJB) oleh kerajaan negeri Perlis.

Penganugerahan ini disampaikan sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Istana Arau.

Rita, yang kini berusia 49 tahun, telah berkecimpung dalam industri hiburan tanah air selama hampir 28 tahun. Beliau dikenali sebagai antara pelakon wanita paling konsisten dan berprinsip dalam dunia seni, selain aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Dalam ucapannya selepas menerima anugerah tersebut, Rita meluahkan rasa syukur dan terharu atas penghargaan yang diberikan.

- IKLAN -

“Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan ini. Ia adalah satu penghormatan besar dan saya anggap sebagai rezeki bukan hanya untuk diri saya, tetapi juga buat anak-anak serta semua yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa penghargaan ini menjadi peringatan bahawa setiap usaha yang ikhlas dan jujur akan ada nilainya, lambat atau cepat.

“Saya berharap agar pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada anak seni lain agar terus berkarya dengan penuh dedikasi dan menjaga maruah profesion sebagai insan seni,” tambahnya.

Selain itu, Rita turut merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis dan semua pihak yang banyak memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

“Terima kasih kepada Exco kerajaan negeri yang terbabit atas pengiktirafan ini. Insya-Allah, akan ada banyak aktiviti bersama mereka nanti,” ujarnya.

Majlis penganugerahan tersebut turut menyaksikan beberapa tokoh lain dari pelbagai bidang menerima darjah kebesaran masing-masing.

Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Rita dalam bidang seni, tetapi juga memberi motivasi kepada wanita di luar sana untuk terus berusaha dan memberi yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Kredit – mstar