Tragedi ‘water rafting’: Nanta ucap takziah kepada keluarga tiga staf JKR lemas

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengucapkan takziah kepada keluarga tiga warga agensinya yang lemas akibat dihanyutkan kepala air.

Menurut Nanta, berita mengenai kejadian tersebut amat menyedihkan bagi pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

“Saya difahamkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika mengikuti aktiviti rakit arus deras di Sungai Kampar, petang tadi.

“Berdasarkan maklumat awal yang saya terima, mangsa yang meninggal dunia melibatkan peserta dari JKR Langkawi seramai dua orang dan seorang dari JKR Seberang Perai Tengah.

 

“Saya amat berdukacita dengan berita yang menyedihkan ini dan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Jumaat.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

 

Sebelum ini media melaporkan, identiti tiga individu meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika menjalani aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng merupakan kakitangan JKR.

Identiti wanita lemas dikenal pasti sebagai Suhaili Mat Saad, 47, merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang manakala Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, masing-masing daripada JKR Langkawi, Kedah.

 

Difahamkan ketiga-tiga mangsa termasuk seorang wanita merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menjalani kursus pengukuhan kerja berpasukan di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Nanta memaklumkan, beliau sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai insiden berkenaan dan sudah mengeluarkan arahan untuk tindakan lanjut.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.