Tidur sahaja istana, Nafiz Muaz dedah Sultanah Zahirah merendah diri

Berkahwin dengan adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah iaitu Diyana Omar sejak awal tahun lalu, pelakon Nafiz Muaz tidak melabelkan dirinya sebagai golongan kerabat.

Kata pemilik nama lengkap, Muhd. Nafiz Muaz Mat Nasir itu, dia lebih selesa menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan dan selesa tidak terlalu berkongsi tentang kehidupan peribadi buat tatapan umum.

 

“Saya perbetulkan sikit sebab isteri saya bukan golongan kerabat. Kakak dia, Sultanah Nur Zahirah dulunya seorang rakyat biasa.

“Barangkali, Sultanah sudah bergelar golongan kerabat tetapi keluarga isteri saya hanyalah orang biasa, bukan kerabat diraja sebab macam saya cakap tadi, masa kahwin dengan Sultan Mizan Zainal Abidin, baginda datang dari latar belakang orang biasa atau kebanyakan,” katanya kepada Kosmo! Online.

 

Nafiz, 24, ditemui Kosmo! Online pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Manggis Group di ibu negara, baru-baru ini.

Ditanya tentang bagaimana dia menyesuaikan diri bergaul dengan golongan kerabat Terengganu, kata Nafiz, pada mulanya dia berasa agak kekok namun sekarang selepas lebih setahun, dirinya sudah pandai menyesuaikan diri.

 

“Contohnya masa raya nak masuk istana menghadap, makan dengan keluarga, banyak benda baharu sebenarnya yang saya belajar.

“Saya agak kekok duduk dalam istana. Sekarang ini pun, saya dari istana sebenarnya (waktu ditemu bual).

 

“Sekarang saya dah ada anak (usia lima bulan). Kakak ipar, Sultanah Nur Zahirah, baginda suka sangat dengan anak saya. Kalau boleh, hari-hari baginda nak tengok anak saya.

“Dia cakap macam ini, ‘Nafiz, tidur je dalam istana’, sampailah baginda balik, barulah saya balik. Baginda kalau boleh nak 24/7 (setiap masa) bersama dengan anak saya,” katanya.

Ditanya tentang panggilan antara dirinya dengan Sultanah Nur Zahirah, Nafiz membahasakan baginda dengan gelaran ‘Kak Zahirah’.

 

“Dulu masa mula-mula kahwin, saya bahasakan diri sebagai patik dan tuanku dengan gelaran baginda. Jadi, apabila dah masuk famili, jadi ‘Kak Zahirah-Nafiz’ macam itu.

“Baginda tak nak apabila kami duduk bersama, jadi macam orang luar. Baginda tak nak benda itu. Sangat ‘best’ lah. Baginda boleh saya sifatkan seorang yang sangat merendah diri. Saya suka duduk dan lepak lama. Macam-macam benda kami boleh borak.

“Baginda pula cakap loghat Kedah walaupun seorang sultanah dari Terengganu. Sebab baginda kan asal Alor Setar, Kedah. Macam cakap seratus peratus Kedah. Kadang-kadang, saya cakap KL, baginda yang pelik,” ujarnya.

Dalam pada itu, diminta perincian tentang anak sulung, Nafiz memilih untuk tidak terlalu mendedahkan lebih tentang zuriatnya.

“Saya punya perihal peribadi, saya tak nak campur dengan hal kerja. Kalau orang nampak saya dengan anak, itu terpulang mereka.

“Masa kecil, adalah menjadi tanggungjawab saya melindungi dan mendidik anak. Dah besar nanti, dia boleh pilih sendiri jalan hidupnya,” katanya.

Terdahulu, Nafiz dan Diyana berkahwin pada 2 Januari 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Majlis perkahwinan mereka turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli.

Sumber-kosmo

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.