Ernie Zakri kesal komen negatif terhadap anak
Penyanyi, Ernie Zakri, 32, kesal dengan komen berbaur negatif dan kurang baik yang ditulis segelintir netizen terhadap anak perempuannya, Nur Khawla Soleha, 2, menerusi video yang dimuatnaik di akaun media sosial.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, walaupun dia berlapang dada dengan setiap teguran positif diterima, namun ada masa tetap berasa sedih juga apabila komen tidak baik ditulis netizen terhadap anaknya itu.
“Sebagai selebriti yang sering jadi perhatian, saya dan suami, Syamel tahu kami tidak dapat lari daripada menerima komen-komen negatif daripada netizen, tapi untuk Khawla, dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa.
“Kadang-kadang bila kita muatnaik video Khawla gelak pun atau Khawla merajuk, ada orang yang kata, dia ini bukan comel sangat pun. Jadi, saya tak tahu apa kesalahan anak saya terhadap anda (netizen).
“Sebagai emak, saya macam berfikir anak saya salah apa? Tapi, ia adalah satu perkara yang semula jadi sebab bila kita sendiri yang berkongsi mengenai anak di media sosial, kita kena tanggunglah risikonya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut penyanyi lagu Boneka ini, dia dan Syamel kini selesa mengambil pendekatan meletakkan sedikit had untuk tidak selalu berkongsi video mengenai Khawla di akaun media sosial masing-masing.
“Apabila dapat komen (negatif) sebegitu, kami meletakkan sedikit had untuk tidak selalu membuat perkongsian (video Khawla) di media sosial. Ini kerana, pada penghujungnya orang boleh cakap apa saja, tapi kita yang menjalani kehidupan itu.
“Walaupun saya dan Syamel tidak terlalu ambil hati dengan apa yang ditulis (komen), namun kami sedar risiko perlu ditanggung. Jadi, ada masa kalau ‘mood’ saya baik, saya akan kongsi banyak mengenai Khawla.
“Tapi, kalau rasa taknak kongsi, saya tidak muatnaik langsung. Namun, saya bukanlah emak yang terlalu mengongkong sebab anak saya pun perlu menjalani kehidupan biasa sebagai anak kecil yang bila keluar ke mana-mana akan ada orang yang menegurnya.
“Jadi, saya juga mahu dia memahami ibu dan bapanya adalah penyanyi. Kalau saya terlalu nak sorokkan dia, takut Khawla bila keluar nanti jadi pelik. Oleh itu, pengenalan pada waktu awal ini adalah perkara penting, tapi perlu kami kawal dan pantau,” katanya.
Terdahulu, Ernie Ernie ditemui media ketika hadir pada majlis pelancaran koleksi tudung Ernie Zakri X Ayuwan sempena hari raya Aidilfitri di pusat beli belah terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.
Mengulas juga kerjasama dengan Ayuwan, Ernie berkata dia seronok membangun bersama jenama produk tudung itu yang masih baharu di pasaran sejak tahun lalu dan mendapat sambutan amat positif.