Fattah ada tanya, dengar apa-apa tak pasal dia – Haji Zil

Penerbit dan pengarah, Haji Zil, mengakui, ada bertemu dengan Fattah Amin, sekitar dua minggu lalu secara santai di ibu negara namun aktor terbabit tidak bercerita mengenai isu peribadi kepadanya.

Menurut Haji Zil, pertemuan itu juga tidak disengajakan kerana kebetulan masing-masing sedang sibuk di set penggambaran.

“Kebetulan sahaja berjumpa dua minggu lalu itu pun tak sempat hendak bersembang panjang. Sebelum itu kami pun dah lama tak bersua muka.

“Cuma, adalah semasa berbual sekejap itu, Fattah bertanya sama ada saya ada dengar apa-apa tak mengenai dirinya? Saya jawab tak ada pula.

“Kemudian dia beritahu kalau saya nak tawarkan dia berlakon lagi boleh saja panggil dia. Itu sahaja,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, Haji Zil turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah warganet yang keterlaluan menghentam dan mengkritik Fattah di media sosial.

Baginya, sebagai pihak luar, tidak wajar menghentam Fattah sedangkan semua orang tidak pernah tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam rumah tangga mereka.

“Tak sukalah tengok warganet memaki hamun di Instagram Fattah sedangkan mereka tak tahu apa-apa pun yang berlaku dalam kelambu mereka.

“Saya harap warganet pun janganlah serang tidak tentu hala. Lebih baik jangan masuk campur hal peribadi mereka. Jangan buat disa kering.

“Saya pun bersama-sama pasukan produksi, kalau jadi apa-apa pada Fattah, kami tetap akan sokong dan ambil dia berlakon,”katanya.

Jumaat lalu, aktres dengan nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin dikhabarkan telah memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.

Kebelakangan ini juga isu keretakan rumah tangga mereka hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.

Bagaimanapun, semalam, Fattah dalam satu kenyataan mengakui masih sayangkan isterinya, Nur Fazura dan tidak pernah berlaku curang dengan mana-mana wanita lain.

Selain itu, aktor itu juga mendakwa tidak tahu mengenai tindakan Fazura memfailkan perceraian dan hanya mengetahuinya menerusi media sosial semata-mata.

Kredit-U

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.