“Sejak ketibaan dia pun, dia dah cakap dengan saya..”- Mamat tampil jelaskan semua..

“Kita sebagai peminat Syamsul Debat sememangnya sudah memahami cara dan pendekatannya. Dia juga sudah beberapa kali muncul dalam program Maharaja Lawak Mega sebagai artis undangan.

“Dalam ceramah dia pun, gaya penyampaiannya bersahaja dan penuh dengan gurauan sudah menjadi kebiasaan. Kami sendiri sudah seperti adik-beradik dengannya. Sebelum sesi temu bual bermula, kami sempat bersembang santai.

“Seperti biasa, kami akan memberikan taklimat terlebih dulu, termasuk berkongsi soalan yang bakal ditanya. Dia sangat terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mamat jelaskan hal sebenar

Menurut Mamat, suasana ketika rakaman berlangsung juga sangat santai, selari dengan karakter Syamsul Debat yang sememangnya mudah didekati dan gemar bergurau.

- IKLAN -

“Kalau tetamu kami adalah tetamu lain, contohnya Ustaz Azhar Idrus, tentu saya tidak akan bergurau sebegitu sebab pendekatannya berbeza. Tetapi kerana ini Syamsul Debat, kami tahu dia boleh menerima gurauan kami,” katanya.

Mamat turut mendedahkan bahawa dia menghubungi Syamsul Debat selepas video tular berkenaan tersebar dan pendakwah popular itu juga tidak menyimpan sebarang rasa tidak puas hati terhadap insiden itu.

“Malah, semalam saya ada menghantar mesej kepadanya dan dia sendiri berkata, ‘Nak buat macam mana, benda dah tular’. Namun, antara kami tiada sebarang isu berkenaan perkara itu,” katanya.

Menurut Mamat, pengendalian Dol’s Podcast yang dikendalikan bersama Shuib dan Fizie Roslan adalah di bawah seliaan sepenuhnya pasukan produksi mereka, termasuk pemilihan kandungan dan masa siaran.

“Sejak awal ketibaan dia pun, dia sudah bercakap dengan saya dan menyatakan bahawa dia sering mengikuti perkembangan saya, ada masa saya dikecam, ada masa saya dipuji,” katanya.

Mengulas gaya pengacaraan yang digunakan, Mamat menjelaskan bahawa dia dan rakan pengacara, Shuib, sudah terbiasa dengan peranan masing-masing, manakala Fizie pula bertindak sebagai ‘anchor’ yang membantu mengawal perjalanan podcast jika situasi menjadi tidak terkawal.

“Saya memang suka menyampuk dan mengusik sedikit, tapi itu semua demi menjaga momentum rancangan. Podcast memerlukan momentum yang berterusan. Kami tidak mahu ia menjadi hambar.

Mamat minta maaf kepada ustaz

“Walaupun saya menyampuk, saya pastikan cerita tidak terputus. Biasanya, saya akan menyelitkan soalan atau gurauan yang berkaitan. Walaupun nampak seperti menyampuk, tetapi tujuannya adalah untuk memastikan penyampaian mesej itu sampai kepada penonton.

“Sebagai contoh, ketika Syamsul Debat berkongsi pengalaman pernah menjadi guru, saya menyelit dengan menyebut ‘pengetua’. Itu hanyalah gurauan ringan untuk menceriakan suasana.

“Kami juga sudah memberikan taklimat awal, dan dia sendiri memberitahu perkara yang boleh dan tidak boleh disentuh. Saya sendiri pun tidak berani menyentuh topik berkaitan hukum-hakam. Jadi, fokus perbualan kami lebih kepada kerjaya dia,” katanya.