11 beranak huni pondok usang tanpa dinding, tinggal dalam kebun kelapa sawit
Sepasang suami isteri dari Sabah terpaksa hidup dalam keadaan daif bersama sembilan orang anaknya di sebuah pondok usang tanpa dinding sejak 18 tahun lalu.
Kesusahan yang dialami oleh pasangan yang dikenali sebagai Aidil dan Vernnah didedahkan oleh aktivis kebajikan, Adrian Edy menziarahi mereka pada 31 Oktober lalu.
Pondok usang tanpa dinding
View this post on Instagram
Menurut Adrian, pendapatan bulanan mereka tidak menentu memandangkan Aidil bekerja sendiri dengan membantu membersihkan kebun penduduk setempat.
Apa yang lebih menyedihkan, pondok yang dihuni 11 sekeluarga itu tidak mempunyai bekalan elektrik serta air dan akan pergi ke sungai berhampiran rumah untuk membersihkan badan.
“Sudah 18 tahun mereka tinggal di situ, sejak kak Vernnah kahwin dan melahirkan anak pertama mereka, mereka sudah pun tinggal di situ, rumah mereka tiada elektrik, tiada bekalan air, ibarat sebuah pondok kecil sahaja.
“Mereka mandi di sungai berdekatan rumah, suami kak Vernnah, abang Aidil kerja sendiri bantu bantu bersihkan kebun orang, itupun tidak tentu juga, kalau ada orang panggil kerja, adalah pendapatan untuk beli makanan,” kata Adrian.
Simpati dengan nasib yang menimpa keluarga itu, Adrian telah menghulurkan sumbangan kelengkapan rumah seperti memasang lampu solar, kipas solar, tilam serta bekalan makanan bagi meringankan beban mereka.
Difahamkan juga, Adrian turut membantu menanggung kos pembelajaran anak-anak Aidil dan Vernnah dengan harapan mereka dapat mencapai cita-cita yang diidamkan.
Pondok usang tanpa dinding
“Syukur kita bantu pasangkan lampu solar, kipas solar, berikan tilam, bantal dan beri bekalan makanan buat mereka, kalau mereka mahu keluar ke kedai beli barang makanan memang jauh.
“Rasa sedih sangat bila nampak rumah mereka kosong sahaja, hanya ada baju baju, tilam dan bantal memang tiada, mereka tidur di atas papan sahaja setiap hari, belajar pun kadang tidak dapat belajar kalau malam sebab tiada lampu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri tersebut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Adrian yang sanggup datang memberikan pertolongan walaupun kediaman mereka jauh daripada orang ramai.
Sumber: Instagram @Andrianedy7