Op Favish: SPRM beku akaun persendirian, syarikat Vivy dan Fadza bernilai kira-kira RM1.1 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan. – Sumber foto IG Vivy

Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.

“Selain itu, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan individu penting yang terdiri daripada pegawai kanan Khazanah, PNB, FashionValet, akauntan, penilai syarikat dan ‘introducer’ (pencadang)” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Isnin lalu, SPRM secara serentak telah menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

Isu FashionValet: 11 beg tangan, seutas jam tangan mewah disita dari kediaman Vivy, Fadza

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita 11 beg tangan dan seutas jam tangan jenama mewah yang dianggarkan bernilai RM200,000 dari kediaman pasangan dan pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Sumber mendedahkan kepada Astro AWANI, sitaan itu dibuat SPRM selepas pasukan penguat kuasa itu membongkar kediaman pasangan suami isteri tersebut di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambahnya, sebelum itu, pasangan tersebut hadir ke SPRM jam 1 petang untuk memberi keterangan kemudiannya dibawa ke kediaman jam 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.

“Dalam serbuan ini, selain dihadiri 12 pegawai SPRM, ia turut disertai peguam pasangan tersebut.

“Penggeledahan berakhir sekitar jam 8 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000,” katanya.

Sementara itu, semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembongkaran tersebut.
Menurut Azam, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, pasangan tersebut akan hadir lagi ke SPRM esok jam 10 pagi untuk dirakam keterangan.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.