Keluarga Nurly Shahirah Minta Privasi, Tutup Rumah Selama Empat Hari!

- IKLAN -

Kunjungan tetamu yang tidak putus-putus sejak tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu telah menyebabkan keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman terpaksa mengambil langkah tegas.

Keluarga memaklumkan bahawa mereka tidak akan menerima kunjungan tetamu bermula 2 hingga 5 Julai 2025 bagi memberi ruang kepada ibu bapa Allahyarham untuk berehat setelah kehilangan yang amat besar.

Pengumuman ini dibuat melalui hantaran Facebook oleh Ahmad Nazrul, seorang kenalan rapat keluarga, yang menyatakan bahawa rumah keluarga arwah turut ditutup kepada umum sepanjang tempoh tersebut.

Abang Allahyarham, Najmuddin Azman, turut berkongsi rasa kesal dan berharap agar masyarakat dapat memahami situasi keluarganya yang belum mendapatkan rehat sepenuhnya selepas pemergian Nurly kira-kira 20 hari lalu.

“Bagi peluang umi dan abah saya berehat seketika. Daripada awal kematian sehingga sekarang tak rehat sepenuhnya. Insya-Allah ada rezeki boleh datang ziarah,” katanya.

Selain itu, keluarga turut mengambil tindakan memasang tali penghadang di pusara arwah Nurly Shahirah bagi mengelakkan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan syarak selepas terdapat laporan mengenai amalan khurafat dan syirik yang melibatkan pengambilan tanah kubur.

Rumah keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah sentiasa didatangi orang ramai sejak 9 Jun lalu. -Foto Facebook Najmuddin

Allahyarhamah Nurly Shahirah adalah salah seorang daripada 15 mangsa yang terkorban dalam nahas melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak.

Najmuddin Azman, abang Allahyarham, memaklumkan bahawa ada pengunjung yang telah mengetuk pintu rumah mereka seawal Subuh, malah ada juga yang datang sekitar jam 10 malam, menyebabkan keluarga merasa tidak selesa.

“Waktu malam mereka tidak menerima tetamu. Harap faham adab ziarah,” tulis Najmuddin dalam hantaran di Facebook, menegaskan bahawa waktu ziarah kini ditetapkan antara jam 9 pagi hingga 6 petang sahaja.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*