Mahkamah Ketepikan Kebenaran Peguam Keluarga & Tertuduh Dalam Inkues Zara Qairina

Zara Qairina

 

Mahkamah ketepikan kebenaran peguam keluarga, tertuduh jadi pihak berkepentingan inkues Zara Qairina

Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan koroner yang sebelum ini membenarkan pasukan guaman Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan peguam bela mewakili lima remaja tertuduh menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Mahkamah turut mengetepikan keputusan koroner terhadap Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) sebagai peguam pemerhati. Namun, pihak terbabit bebas memperbaharui permohonan di hadapan koroner baharu bermula esok.

Zara Qairina

Keputusan Hakim

Hakim Datuk Duncan Sikodol berkata, selepas koroner terdahulu menarik diri atas alasan kepentingan peribadi, sebarang keputusan substantif wajar diserahkan kepada koroner baharu.

- IKLAN -

“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues terbabit adalah dibatalkan. Pihak-pihak terbabit bebas untuk memperbaharui permohonan mereka di hadapan koroner baharu,” kata Duncan.

SLS Dibenar Bawa Isu Kepentingan Awam

Mahkamah menolak bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya yang mendakwa SLS tidak mempunyai locus standi. Duncan menegaskan SLS berhak membangkitkan isu kerana wujud dimensi kepentingan awam.

Peguam Terlibat

  • Peguam keluarga Zara Qairina diketuai Shahlan Jufri bersama pasukannya.
  • Peguam Datuk Ram Singh mewakili seorang tertuduh remaja, manakala empat tertuduh lain diwakili Azhier Farhan Arisin.
  • SLS dianggotai Datuk Mohamed Nazim Maduarin dan beberapa rakan peguam.

Latar Belakang Inkues

Koroner terdahulu membenarkan peguam tertuduh remaja jadi pihak berkepentingan, namun kemudiannya menarik diri. Inkues kini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan bermula September 2025.

Jadual Inkues Kematian Zara Qairina

Tarikh Catatan
3 – 4 September 2025 Sesi pertama inkues
8 – 12 September 2025 Sesi sambungan pendengaran
17 – 19 September 2025 Pemeriksaan saksi seterusnya
22 – 30 September 2025 Prosiding lanjutan sehingga akhir bulan

Pada 20 Ogos lalu, lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan menghina terhadap Zara Qairina. Inkues ini dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di sebuah sekolah agama di Papar, sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.