Nafkah isteri pertama 20k sebulan? Suami miera liyana dedah ini dimahkamah

Kuala Lumpur: Suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini, bahawa dia tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama dan anaknya meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.

Rosland, 50, berkata demikian apabila ditanya peguamnya, Nurul Balqis Nordin semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Abdul Fattah Datuk Kamarudin.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu mendakwa memberi nafkah antara RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

“Sehingga semalam pesanan membeli barang dapur saya tunaikan. InsyaAllah semuanya lengkap seperti ansuran rumah, bil elektrik, perbelanjaan persekolahan dan kad kredit juga diberi, tapi masih keluarkan kenyataan saya tidak bertanggungjawab.

“Saya boleh tunjukkan apa bayaran dia dapat, saya ada beri tunai tidak termasuk perbelanjaan sekolah dan kenderaan sekolah anak. Tapi masih mengatakan saya tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan nafkah kepada anak-anak sedangkan saya masih beri walaupun saya tidak keluar kenyataan di media, saya suka simpan fakta ini di mahkamah.

“Secara keseluruhan jumlah saya beri lebih RM15,000 hingga RM20,000. Walaupun dalam keadaan ekonomi meleset dan bisnes (perniagaan) tidak menentu, saya beri (nafkah) tapi masih ada tohmahan tidak berasas,” katanya semasa prosiding perbicaraan hari ini.

Plaintif iaitu Rosland memfailkan nusyuz terhadap Adibah Abdul Mutalib, 50, selepas dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021.

ADIBAH yang juga isteri pertama kepada Rosland hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Dalam prosiding itu, Rosland memberitahu pulang awal ke rumah pada jam 6.30 petang hari kejadian, untuk membawa anak mereka keluar namun Adibah tiada di rumah.

Beliau mendakwa sudah beberapa kali berpesan kepada defendan supaya tidak keluar rumah sebelum beliau sampai tetapi defendan ingkar menyebabkan beliau menyekat nombor Adibah sehingga kini.

Diminta peguam untuk menjelaskan lagi mengenai nafkah diberikannya, Rosland mengakui tidak lagi memberikan nafkah batin kerana mereka sudah tidak sefahaman.

“Seperti saya katakan tadi, saya dan defendan sedang melalui kes nusyuz kerana dia tidak lagi mengendahkan kata-kata saya sebagai suami.

“Selagi kes ini tidak selesai, sudah tentu daripada segi nafkah batin tidak dapat saya tunaikan. Saya dengan dia tidak ada persefahaman dan tidak ada persetujuan lagi bagaimana untuk teruskan, adalah agak sukar,” katanya.

Dalam prosiding sama, ibu mentua Rosland yang juga ibu Miera Leyana, Aisah Abdullah turut memberi keterangan saksi.

Perbicaraan kes bersambung pada 8, 14 dan 22 Jun depan dengan Adibah akan mengemukakan tiga saksi perbicaraan.

Terdahulu, peguam Rosland memohon injunksi iaitu perintah perlindungan kehakiman untuk kes itu tidak dihadiri pihak media.

Bagaimanapun, hakim menolak permohonan itu kerana tiada permohonan bertulis diterima setakat ini, malah kes itu juga dibicarakan di mahkamah terbuka.

Rosland sebelum ini memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit menjadi perhatian sebaik Rosland memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya itu.

Namun, madu kepada Miera Leyana itu dilaporkan mahu terus mempertahankan rumah tangga bersama suami walaupun perkahwinan dilanda badai sejak dua tahun lalu.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*