Enam maut kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 204

Enam termasuk seorang pemandu bas persiaran maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan nahas itu pada jam 8.45 malam tadi.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki lapan penumpang, termasuk tiga kanak-kanak, bas persiaran yang membawa 29 penumpang termasuk dua pemandu dan sebuah treler dinaiki dua penumpang.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Alor Gajah dengan keanggotaan 27 anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

- IKLAN -

“Setakat ini, lima mangsa yang menaiki Toyota Estima dan seorang pemandu bas persiaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terbabit masih dijalankan anggota pasukan penyelamat.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan kejadian itu, lebuh raya dari Ayer Keroh menghala ke Simpang Ampat sesak lebih 10 kilometer disebabkan kenderaan menghalang laluan.

Sementara itu, PLUS menerusi perkongsian di X memaklumkan, sehingga jam 11.27 malam tadi, semua lorong arah utara dan lorong kanan masih terhalang.

“Trafik terhenti 10 kilometer (km) arah utara dan sesak enam km arah selatan.

“Kenderaan menuju ke utara dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ayer Keroh. Rancang perjalanan anda. Pandu berhati-hati,” katanya.

Pada 2010, media melaporkan, seramai 12 mangsa maut dalam kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat.

Sembilan daripada mangsa adalah rakyat Malaysia, manakala tiga lagi berasal daripada Myanmar.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.

Sebuah kereta lagi turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandu dan penumpangnya selamat.

Kemalangan itu turut menyebabkan lebih 40 penumpang lain cedera dan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di kedua-dua hala.

Sumber-BH