“Saya pula tiada insurans..”- Azlee Senario minta pulang, bil hospital cecah RM40,000

Pelakon dan pelawak, Azlee Senario minta pulang awal ke rumah selepas dinasihatkan berehat selama sebulan di hospital untuk proses kesembuhan.

Dia bagaimanapun menjelaskan keadaan kesihatannya semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 Jun lalu.

Azlee Senario minta pulang awal

Azlee atau nama penuhnya Muhammad Azlee Jaafar berkata, doktor tidak mengizinkannya keluar awal kerana jantungnya belum benar-benar pulih. Tetapi, dia sendiri membuat permohonan untuk keluar hospital.

“Saya sudah keluar hospital dan berehat di rumah. Kalau nak diikutkan doktor memang tak benarkan saya pulang untuk biarkan jantung saya benar-benar pulih, tapi saya mohon keluar.
“Saya bukan tak nak duduk di hospital, tapi empat hari pun bil sudah mencecah RM40,000. Saya pula tiada insurans sebab dulu saya ada penyakit hempedu dan hati. Keluarga berkongsi duit, selain bantuan Yayasan Selangor.
“Alhamdulillah, saya dalam keadaan stabil sekarang,” katanya.

Wakil Perdana Menteri & rakan-rakan datang melawat

Dalam ada itu, Azlee turut meluahkan rasa syukur apabila ramai pihak datang menziarahi dan menghulurkan bantuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri ada hantar wakil datang melawat dan menghulurkan sumbangan. Alhamdulillah,” katanya lagi.

Azlee juga berterima kasih kepada pihak media yang berkongsi mengenai kisahnya yang boleh dijadikan pengajaran terutama menjaga pemakanan harian.

Katanya, doktor berpesan kepadanya untuk menjaga pemakanan dan elak makanan berkolesterol tinggi.

“Yang utamanya saya kena elak makanan berkolesterol. Keduanya, perkara ini juga boleh disebabkan akibat tekanan kerja dan sebagainya, jadi mungkin jantung pam laju.
“Doktor ada nasihatkan saya apa yang boleh makan dan tidak boleh. Terima kasih kepada pihak media yang mengambil berat.
“Apa yang dapat kongsi, jangan makan makanan berkolesterol kerana ia boleh menutup injap jantung,”kongsi pelawak berusia 56 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan Azlee yang merupakan anggota kumpulan Senario dibawa ke klinik berdekatan rumahnya selepas mengalami kesukaran bernafas sebelum dinasihatkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) da IJN untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Azlee kemudiannya diminta menjalani pembedahan dan prosedur meletakkan sten pada hari sama selepas doktor memaklumkan keadaannya sangat kritikal

Ini kerana jantungnya tersumbat sebanyak 99 peratus dan salah satu urat pada injap jantungnya putus.

“Saya terus menjalani pembedahan pada hari sama sebab doktor kata kalau lambat lima minit mungkin saya sudah tiada. Pembedahan dilakukan selama tiga jam, bila sedar sahaja saya sudah berada di CCU,”kata Azlee.

Sumber: BH Online (Fatin Farhana Ariffin)

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.