“Saya pun tdk sempat hendak..”- Pengasuh dedah tindakan suami Munirah terhadap anaknya..

Arau: “Mak cik terkejut juga apabila suaminya menghantar anak kepada mak cik awal pagi dan berlalu tanpa sebarang kata,” kata Hasnah Yahya, 63.

Hasnah adalah pengasuh dua anak lelaki kepada jururawat, Munirah Abu Bakar, 31, yang maut ditikam suaminya dengan pisau di kediaman mereka di Padang Nyu, di sini semalam.

Menurutnya, bapa kepada kanak-kanak yang masing-masing berusia enam dan lapan tahun itu hanya berada dalam kereta dan tidak pun turun untuk menghantar anak mereka ke pintu rumahnya.

“Lazimnya jika Sabtu, bapa (suspek) kanak-kanak itu akan menghantar anak mereka ke rumah mak cik sekitar 9 pagi, namun semalam sekitar 7 pagi kanak-kanak itu sudah pun berada di laman rumah mak cik.

“Saya pun tidak sempat hendak menanyakan sebab mengapa kanak-kanak itu dihantar begitu awal dan tidaklah mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Gajah, di sini hari ini.

Hasnah berkata, dia sepatutnya bercuti semalam tetapi kerana sayangkan kedua-dua adik-beradik itu, dia pun tetap mengasuh mereka.

“Jadi kedua-dua adik-beradik itu pun bermain seperti hari biasa sehinggalah 1 tengah hari semalam apabila mak cik menerima panggilan telefon daripada polis Ibu yang bertanyakan mengenai keberadaan kanak-kanak itu.

“Mak cik mula curiga apabila pegawai berkenaan menyuruh mak cik ke Balai Polis Arau dan polis datang ke rumah untuk mengambil kanak-kanak itu bagi diserahkan kepada waris ibu mereka dan barulah mak cik tahu ibu mereka, Mun (Munirah) terbunuh ditikam bapa mereka,” katanya.

Hasnah berkata, apa yang menyedihkan adalah sehingga kini kanak-kanak itu masih tidak mengetahui apa yang sudah berlaku.

Sementara itu, jenazah Munirah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tengah, Beseri, Padang Besar selepas Asar apabila proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selesai.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.