Along Cham mengaku tak bersalah miliki ganja, tidak dibenarkan ikat jamin

Pelakon dan pelawak, Along Cham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 58.23 gram, Sabtu minggu lalu.

Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

- IKLAN -

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.

Terkejut dengan perkara itu, pengacara dan penyampai radio berkenaan merayu agar dilepaskan dengan jaminan memandangkan keluarganya, telah melantik peguam untuk mewakilinya.

Muhammad Nizamudin: Saya sepatutnya direman selama empat hari, tapi aaya hanya dimaklumkan akan didakwa hari ini, jadi agak kelam kabut.

Hakim: Jadi, di mana peguam kamu?

Muhammad Nizamudin: Keluarga sudah hubungi dan beritahu telah melantik peguam.

Hakim: Jaminan tidak dibenarkan, peruntukan undang-undang telah nyatakan kes ini tidak boleh dijamin.

Muhammad Nizamudin: Saya merayu saya ada anak, saya janji, sumpah akan beri kerjasama.

Hakim: Kes ini tidak boleh dijamin, jika peruntukan undang-undang menyatakan boleh dijamin, bolehlah saya pertimbangkan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan artis tersebut ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya, Sabtu minggu lalu.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut menemukan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan selebriti itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, lelaki itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut hadir di mahkamah ialah isteri selebriti itu, Afreena Suhaimi, 32, yang memberitahu akan terus berjuang demi menuntut keadilan buat suaminya.

Sumber-sinar