Tunggakan sewa cecah RM7,500, Dharma akur disuruh kosongkan rumah akhir bulan ini
Akibat gagal melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500, pelakon popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68 bersama dua anak, terpaksa akur arahan mengosongkan kediaman yang dikeluarkan pemiliknya.
Dharma berkata, dia dan dua anak, iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, diberi tempoh hingga akhir bulan ini untuk melunaskan tunggakan jika mahu terus mendiami rumah sewa berkenaan.
“Sekarang, saya tiada kerja. Kalau ada tawaran berlakon atau kerja apa sekalipun, saya tiada masalah untuk saya bayar. Jujurnya, perkara ini sangat membebankan dan buat saya tertekan memikirkannya.
“Pemilik rumah beri kami tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menjelaskan tunggakan sewa. Jika tidak, kami terpaksa keluar.
“Hujung bulan ini, anak-anak akan duduki peperiksaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), jadi saya sangat susah hati dan hilang selera makan,” katanya selepas dikunjungi Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez yang menyerahkan bantuan di kediamannya di Wangsa Maju di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden KARYAWAN, Radhi Khalid dan penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim.
Memilih program seni dan kreatif di ASWARA, Siti Qurratu sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda penulisan dengan kepujian (penulisan filem dan televisyen) manakala adiknya, Muhammad Al Syafiq sedang berada pada peringkat asasi seni kreatif di institusi pengajian itu.
Dharma yang mencipta nama melalui filem Adik Manja berkata, apa diperlukan ketika ini adalah sumber pendapatan atau pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian.
“Saya sudah lihat bagaimana pelakon lama lain yang berdepan kesusahan. Jadi, saya cuba elak untuk mendapat nasib sama… Tetapi Allah lebih berkuasa.
“Saya rancang macam mana sekalipun, tapi semuanya atas kehendak Allah, mungkin juga ini ujian untuk kami sekeluarga,” katanya.
Pada 2019, Dharma mengalami serangan angin ahmar sehingga menyebabkan dirinya sukar bertutur dengan lancar. Beliau juga berdepan kesukaran mengingati sesuatu perkara termasuk mengalami asma.
Sementara itu, Freddie berkata, KARYAWAN akan berusaha membantu Dharma menyelesaikan isu bayaran sewa rumah termasuk berbincang dengan pemilik agar dapat memberi sedikit masa untuk pelakon itu menjelaskan hutangnya.