“Biarlah Saya Jadi Isteri Baik & Betul,” – Tiada Tawaran Berlakon Lepas Berhijab, Angeline Tan Janggal Tapi Percaya Rezeki
Pelakon, Angeline Tan mengakui dia sudah lama tidak menerima tawaran berlakon selepas mengenakan hijab.
Tetap positif, Angeline atau nama Islamnya, Ardini Angeline Tan merasakan ketika ini mungkin belum ada watak yang sesuai untuk diberikan kepadanya.
VIDEO:
“Saya memang kurang menerima tawaran berlakon selepas bertudung. Issey Fazlisham panggil saya berlakon di dalam drama Perang Nasi Dagang pun kerana suami saya.
“Jadi, untuk tawaran serius berlakon memang belum ada lagi. Saya masih nak berlakon. Mungkin agak susah untuk mereka cari watak sesuai untuk saya.
“Jika dahulu saya banyak berlakon watak berbangsa Cina tapi kini kalau saya berlakon, satu keluarga perlu jadi Cina Muslim,” katanya kepada MH.
Isteri kepada pelakon, Sabri Yunus itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program terbaharu terbitan TV Alhijrah, ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ yang berlangsung di Restoran Homst, Wangsa Maju pada Isnin.
Malah, Angeline juga percaya waktu luang ini boleh dimanfaatkan untuk mendalami ilmu agama.
“Mula-mula saya rasa agak janggal juga kerana saya sudah terbiasa sibuk bekerja. Bila tiada tawaran memang pelik sedikit tapi saya okay sahaja.
“Sebagai contoh, TV Al Hijrah tiba-tiba buat rancangan tv untuk saya. Saya anggap mungkin inilah masanya untuk saya belajar perkara baharu. Kalau sibuk, agak susah saya nak pergi kursus.
“Bulan Julai lalu, saya sepatut ada kursus agama dengan MAWIP tapi disebabkan program ini, saya terpaksa tangguh dan tunggu intake baharu.
“Selepas belajar, mungkin ada lagi program agama yang boleh saya sertai,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, dia juga percaya Allah telah menyusun rezeki setiap manusia dengan baik.
“Sepanjang 30 tahun dalam bidang seni, tak pernah sekali pun saya meminta kerja. Walaupun saya berkawan baik dengan suami ketika dia sibuk mengarah, saya tak pernah minta dipanggil berlakon.
“Saya percaya, jika mereka tidak memanggil saya, itu bermakna watak itu tidak sesuai. Saya percaya rezeki. Bukan saya seorang sahaja nak hidup.
“Rakan-rakan artis juga nak hidup. Itu rezeki mereka dan bukan saya. Kita tak perlu berkecil hati. Ada hari rezeki kita, ada hari rezeki kawan kita,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Angeline turut menyifatkan suaminya merupakan kekuatan buat dirinya untuk terus beristiqomah.
“Kekuatan itu hadir dari suami saya. Ketika saya bersetuju nak menjadi isteri Sabri, saya pernah berkata pada Allah, biarlah saya menjadi seorang isteri yang baik dan betul.
“Saya pernah juga mengeluh panas pakai tudung kepada suami tapi ia sekadar gurauan manja sahaja,” akhirinya.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.