Wajah didakwa pelaku kes Zara Qairina tersebar – desakan siasatan awam semakin kuat

KOTA KINABALU, 6 Ogos — Misteri kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Zara Qairina, 13, kembali hangat selepas beberapa keping foto individu yang dikaitkan dengan kejadian tragik itu berlegar di media sosial sejak semalam.

Foto berkenaan – dikongsi melalui saluran Telegram “Edisi Siasat” kemudian disebar di Threads – didakwa memaparkan wajah beberapa senior yang dikenal pasti dengan gelaran “Kak Dedeng”, “Kak Potet” serta beberapa ahli kumpulan senior yang dipanggil “Circle19”. Nama-nama tersebut sebelum ini banyak disebut saksi sebagai individu yang menghampiri arwah pada malam kejadian, 16 Julai lalu.

Dakwaan baru: ‘Kak Dedeng’ dan ‘Circle19’

Seorang pengguna yang mendakwa dirinya junior sekolah arwah memuat naik gambar seorang pelajar berbaju coklat dan menegaskan inilah ‘Kak Dedeng’ – individu yang disebut Zara dalam panggilan terakhir kepada ibunya. Si pelajar turut memohon orang ramai tidak menyalah tafsir perkongsiannya, sebaliknya menuntut keadilan buat mangsa.

“Saya hanya mahu orang nampak wajah sebenar ‘Kak Dedeng’. Harap perkara ini bantu percepatkan siasatan,” tulisnya.

- IKLAN -

Selain itu, turut tular gambar dua pelajar lain dikatakan “Dyra” (Kak Dedeng) dan “Putri” (Kak Potet) – kedua-duanya pelajar Tingkatan 4 yang dipercayai sebahagian kelompok senior “Circle19” yang sering disebut dalam aplikasi sembang pelajar.

- IKLAN -

Netizen gesa saksi tampil, lindungi ‘Yasmin’

Dalam testimoni awal, ibu Zara mendedahkan arwah sempat memberitahu rakannya, Yasmin, pernah dipanggil kumpulan senior selepas timbul fitnah kononnya Yasmin bercakap buruk mengenai individu digelar “Kak Minas”. Susulan pendedahan itu, warganet mendesak rakan-rakan Yasmin tampil melindungi saksi berkenaan dan memberi keterangan rasmi kepada pihak berkuasa.

“Jangan diam. Lindungi Yasmin, bantu polis – hanya saksi boleh bongkar apa yang benar-benar terjadi,” ciap seorang pengguna Threads.

Polis belum sahkan identiti

Setakat ini, polis Sabah masih belum mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi mengenai identiti suspek mahupun perkembangan terbaharu siasatan. Ketua Polis Daerah Kota Belud sebelum ini hanya memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menunggu laporan forensik.

Bagaimanapun, penyebaran gambar tersebut meningkatkan tekanan awam agar siasatan dipercepatkan, terutama berkaitan dakwaan buli berunsur fizikal dan seksual di asrama.

Seruan hentikan budaya buli

Insiden Zara turut mencetuskan perbincangan lebih luas tentang budaya buli di sekolah berasrama. Banyak pihak – termasuk pertubuhan ibu bapa dan pakar psikologi pendidikan – menggesa Kementerian Pendidikan menilai semula prosedur kawalan disiplin di sekolah berasrama penuh serta menyediakan talian aduan selamat bagi pelajar.

Sumber – OhMedia