[VIDEO] Polis buka kertas enkuiri tatatertib terhadap anggota, pegawai pengiring Sultan Nazrin

Sultan Nazrin

 

[VIDEO] Polis buka kertas enkuiri tatatertib terhadap anggota, pegawai pengiring Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas enkuiri tatatertib (KET) membabitkan anggota dan pegawai pengiring susulan insiden seorang wanita cuba melepasi kawalan keselamatan untuk menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sekiranya wujud elemen kecuaian, kertas siasatan tatatertib (KST) akan dibuka bagi memberi ruang kepada siasatan menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sehingga kini juga kesemua anggota dan pegawai terlibat masih bertugas seperti biasa. Satu mesyuarat bersama pihak istana akan diadakan esok bagi membincangkan tindakan susulan berhubung kejadian itu,” katanya kepada Buletin TV3.

Insiden cuba dekati Sultan Nazrin

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi semalam, seorang wanita dilaporkan cuba melepasi kawalan keselamatan untuk menghampiri Sultan Nazrin, namun berjaya ditahan pasukan keselamatan.

- IKLAN -

Hari ini, media melaporkan wanita berkenaan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, bermula hari ini hingga 3 September.

Latar belakang suspek

Hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan rawatan psikiatri. Namun, ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.

Apa maksud KET?

Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) ialah dokumen rasmi yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menilai sama ada terdapat kecuaian atau pelanggaran disiplin oleh pegawai dan anggota ketika menjalankan tugas. Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, ia boleh membawa kepada tindakan tatatertib seperti amaran, penangguhan kenaikan pangkat atau buang kerja bergantung kepada tahap kesalahan.

Siasatan lanjut

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah. Polis turut meneliti resolusi jangka pendek dan panjang dari aspek pentadbiran bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.

Cerita, Tanpa Cerita-Cerita.