Inkues Zara Qairina: Pakar Tolak Teori Ditolak, Percaya Mangsa Mungkin Melompat atau Bergayut

- IKLAN -

KOTA KINABALU – Pakar Patologi yang mengendalikan kes bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir menolak kemungkinan mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga bangunan asramanya.

Menurut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu, kesimpulan itu dibuat berdasarkan siasatan dan ukuran fizikal yang dijalankan di lokasi kejadian. Beliau berpendapat, ketinggian tembok dan palang besi di koridor tersebut menjadikannya mustahil untuk seseorang dengan ketinggian Zara Qairina jatuh akibat ditolak atau tergelincir.

Dalam keterangannya di Mahkamah Koroner pada Khamis, Dr. Jessie mengemukakan dua kemungkinan utama yang lebih munasabah. Beliau percaya arwah berkemungkinan besar telah memanjat dan berdiri di atas tembok konkrit sebelum sama ada melompat dengan sengaja, atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi yang tergantung dari atas tembok.

Zara Qairina

Ketinggian Palang Jadi Faktor Utama

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, Dr. Jessie memperincikan ukuran yang diambil di lokasi.

- IKLAN -

“Ukuran ketinggian dari lantai ke bahagian paling atas palang logam pada penghadang konkrit di tingkat tiga adalah 118 cm, manakala ketinggian Zara adalah 154 cm,” jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa ketinggian palang penghadang itu melebihi pusat graviti badan mangsa. Bagi wanita, pusat graviti lazimnya berada di sekitar pelvis. Dengan palang yang lebih tinggi daripada pusat graviti, adalah mustahil untuk mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau mudah ditolak dari posisi berdiri di koridor.

“Berdasarkan ukuran itu, saya berpandangan tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak,” tegasnya.

Berikut adalah transkrip soal jawab antara Dr. Jessie dan Pegawai Pengendali inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad:

Pegawai Pengendali: Boleh Dr terangkan mengenai (kenyataan) tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak? Dr Jessie: Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.

Pegawai Pengendali: Apa kemungkinan terbaik? Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (Zara Qairina) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung.

Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada serangan dan punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi? Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan lokasi, ya.

Dalam prosiding sama, Dr. Jessie turut menunjukkan cara mangsa mungkin jatuh, dengan kaki mencecah tanah terlebih dahulu sebelum seluruh badannya rebah dengan wajah menghadap ke atas, selari dengan kecederaan yang direkodkan.

Inkues kematian Zara Qairina, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu, telah bermula sejak 3 September bagi menyiasat punca dan kronologi sebenar insiden tragis tersebut.

Visual 3D Jelaskan Teori Kematian Zara Qairina: “Penghadang Lebih Tinggi Dari Pusat Graviti”

Keterangan teknikal oleh Pakar Patologi, Dr. Jessie Hiu, dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina mungkin sukar difahami oleh orang awam. Namun, inisiatif seorang individu, Muhamad Harris Nasril, yang memodelkan semula tempat kejadian dalam bentuk 3D telah memberi pencerahan dan membantu orang ramai membayangkan mengapa teori mangsa ditolak atau terjatuh secara tidak sengaja adalah tidak munasabah.

Menyedari kekeliruan orang ramai, Harris menggunakan perisian 3D Studio Max untuk mencipta visual berdasarkan fakta yang dibentangkan di mahkamah.

“Ramai yang tak dapat membayangkan apa yang disebut oleh Dr. Jessie. Saya model semula tempat kejadian dalam 3D dan letak figura manusia mengikut ketinggian arwah Zara, 154 cm, dan ketinggian penghadang konkrit koridor beserta palang, 118 cm,” jelas Harris.

Perbandingan Ketinggian Menjadi Kunci

Visual yang dihasilkan oleh Harris dengan jelas menunjukkan perbandingan antara ketinggian figura yang mewakili arwah Zara dengan ketinggian penghadang koridor.

Zara Qairina

GAMBAR: Model 3D oleh Muhamad Harris Nasril yang mengilustrasikan perbandingan ketinggian arwah Zara (154 cm) dengan penghadang koridor (118 cm), menunjukkan palang tersebut berada lebih tinggi daripada pusat graviti mangsa.

Seperti yang diterangkan oleh Dr. Jessie di mahkamah, penghadang setinggi 118 cm itu menjadikan perbezaan sebanyak 36 cm dengan ketinggian mangsa. Lebih penting lagi, ia melepasi paras pusat graviti badan mangsa.

“Ketinggian palang logam terbabit melebihi tiga perempat daripada ketinggian remaja itu dan mungkin melebihi pusat graviti badannya. Bagi wanita, pusat graviti biasanya terletak di kawasan pelvis,” kata Dr. Jessie dalam keterangannya.

Atas dasar inilah beliau merumuskan bahawa adalah “tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit.”

Visual 3D tersebut membantu mengukuhkan pemahaman terhadap teori Dr. Jessie, iaitu kemungkinan besar arwah telah memanjat penghadang konkrit itu terlebih dahulu sebelum insiden jatuhnya berlaku.

Walaupun sangat membantu, Harris menegaskan status visual ciptaannya.

Penafian: “Visual ini hanyalah model 3D untuk tujuan ilustrasi semula berdasarkan kenyataan saksi pakar, bukan rekonstruksi rasmi mahkamah.”

Sumber – Mstar IG Sinar dan FB Muhamad Harris Nasril