Momen Sebak Aliff Syukri Hulur Bantuan, Wan Maimunah Menangis Sambil Titip Doa

KUALA LUMPUR – Satu perkongsian video yang memaparkan usahawan dan personaliti media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri, menghulurkan bantuan kepada pelakon veteran, Wan Maimunah, telah mengundang rasa sebak dan terharu dalam kalangan warganet.

Menerusi klip video yang tular di TikTok, Aliff dilihat memberikan sejumlah wang kepada aktres lagenda itu, yang mesra disapa sebagai “Ibu”. Sambil merendah diri, Aliff menjelaskan bahawa wang tersebut adalah “duit raya” dan berasingan daripada sebarang bayaran kerja, sambil memohon doa agar perniagaannya sentiasa maju.

“Terima kasih ibu banyak bantu saya. Saya tak minta banyak, cuma ibu doakan saya berniaga semakin maju. Jujurnya saya tak senang mana tapi saya cuba untuk berusaha juga. Semoga jeruk-jeruk saya laku, ibu jangan nangis tau,” kata Aliff dalam video tersebut.

Terlalu terharu dengan pemberian ikhlas itu, Wan Maimunah tidak dapat menahan sebak lalu menangis sambil memeluk usahawan tersebut. Beliau meluahkan rasa syukur dan menitipkan pesanan serta doa yang penuh bermakna buat Aliff Syukri.

- IKLAN -

“Alhamdulillah, terima kasih. Kena ingat selalu, setiap yang baik, pasti kebaikan juga Allah yang balas. Insya-Allah bukan hanya jeruk tapi segala-galanya, setiap kebaikan pasti Allah membalasnya,” ucap Wan Maimunah dalam esak tangisnya.

“Ibu tak dapat untuk membalasnya tapi ibu mampu mendoakan. Ibu tak cakap awak anak angkat tau,” tambahnya, menggambarkan ikatan istimewa antara mereka.

Interaksi tulus itu pantas menjadi tular dan menyentuh hati ribuan penonton. Ruangan komen dibanjiri dengan pujian terhadap keikhlasan Aliff Syukri, dengan ramai yang mendoakan agar rezekinya sentiasa melimpah ruah.

Selain itu, momen tersebut turut membuatkan ramai warganet merindui ibu masing-masing dan mengingatkan mereka untuk sentiasa menghargai ibu bapa selagi masih ada. Setakat artikel ini ditulis, video berkenaan telah meraih lebih 764,000 tontonan dan puluhan ribu tanda suka di platform TikTok.

VIDEO :

@papalarisofficial Ibu Wan Maimunah seorang Pelakon Lagenda dan sangat baik. Dulu papa selalu tengok lakonan Ibu Wan Maimunah di kaca Tv. Siapa kat sini sama macam papa , cer komen #i ♬ original sound – Aliff Syukri Kamarzaman

Kredit- OhMyMedia