‘Umi Cantik Berbaju Putih di Syurga’, Ardell Aryana Sebak Kongsi Mimpi Indah Anak Sebelum Berangkat Misi Kemanusiaan

Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana, berkongsi sebuah pengalaman peribadi yang amat menyentuh hati mengenai mimpi indah anak perempuannya, Arwan Malaikha Urwa, sehari sebelum beliau berangkat menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Menerusi satu siaran langsung di TikTok, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, menceritakan dalam nada sebak bagaimana anaknya yang baru berusia lima tahun itu buat pertama kalinya bermimpi tentang syurga.

“Hari yang esok nak berlayar, tiba-tiba dia cakap dengan saya, ‘Urwa mimpi indah. Kali pertama Urwa mimpi indah. Mimpi syurga.’ Saya tanya, syurga? Cantik tak syurga?” kongsi Ardell.

Dalam mimpi tersebut, anaknya melihat Ardell berada bersamanya di syurga dengan berpakaian serba putih. “Dia jawab, umi ada, umi pakai baju putih. Dia kata umi cantik sangat,” cerita Ardell, sambil menambah bahawa beliau sendiri jarang sekali memakai pakaian berwarna putih dalam kehidupan seharian.

- IKLAN -

Lebih menyentuh perasaan, kanak-kanak itu turut menyampaikan pesanan yang menurutnya diterima daripada ALLAH SWT di dalam mimpi tersebut.

“Dia cakap, ALLAH pesan jangan lawan cakap umi. Kena sayang dan dengar cakap umi,” kata ibu kepada dua cahaya mata, Arwan Malaikha Urwa dan Arwa Uthman Affan itu.

Tersentuh dengan penceritaan anaknya, Ardell memberitahu Urwa bahawa beliau sendiri tidak pernah mendapat mimpi seindah itu. Anaknya kemudian membalas dengan kata-kata yang lebih menenangkannya.

VIDEO :

@ex5gold ya Allah kau kabulkan lah apa sahaja doa dan hajat mereka Ya Allah…. lindungi lah mereka yg sedang mnyertai misi ini… semoga mereka juga berjaya memecahkan kepungan disana dan mghantarkan bantuan buat saudara2 kita disana…🥹❤️ #syugaitumahal #syurgaitubukanmudah #ardellaryana #misigaZ #sumudnusantaraflotilla @ardellaryana #bismillahfypシ ♬ Heart touching sad piano – Yuda Pratama

“Dia cakap dengan saya, ‘ALLAH kata selepas ini umi akan dapat mimpi indah pula’. Saya rasa sebak sebab budak lima tahun boleh cakap macam itu,” ujarnya.

Mimpi itu, kata Ardell, telah memberikannya ketenangan dan kekuatan luar biasa untuk meninggalkan keluarga demi tugasan kemanusiaan yang bakal digalasnya.

Semangatnya turut dibakar oleh pesanan terakhir anaknya sebelum beliau berangkat. Isteri kepada selebriti Nadzmi Adhwa itu menceritakan, “Dia sangat sokong saya, jadi saya akan kuatkan semangat saya. Dia cakap dengan saya, ‘Pergilah tolong kawan-kawan Urwa dekat sana. Kesian, mereka lapar dan kurus. Bagi mereka makan. Jangan takut tau, ALLAH ada’.”

Sebagai info, Ardell baru-baru ini telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama selebriti Zizi Kirana sebagai wakil Malaysia. Mereka menyertai delegasi pertama menuju ke Sepanyol sebelum memulakan pelayaran bersama aktivis antarabangsa lain dalam misi Global Sumud Flotilla, yang membawa mesej solidariti dan menuntut keadilan kemanusiaan untuk Gaza di peringkat global.

Kredit – OhBulan & Tiktok