Bebas Atau Penjara? Keputusan Rayuan Syed Saddiq Diumum Esok!

Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mengumumkan keputusan berhubung rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, esok. Keputusan ini bakal menentukan sama ada beliau akan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang dikenakan atau kekal bersalah.

Kes Syed Saddiq berakar pada 9 November 2023 apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan yang melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sebanyak RM1.2 juta. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda sebanyak RM10 juta. Namun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga keputusan rayuan dibuat.

Perbicaraan rayuan beliau di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan termasuklah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin. Pasukan pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pihak pendakwaan.

Dalam rayuan itu, pihak pembelaan berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terdahulu telah membuat kesilapan dalam menilai bukti dan keterangan yang dibentangkan. Mereka juga mendakwa bahawa keputusan sabitan tersebut tidak mematuhi prinsip keadilan yang sewajarnya.

- IKLAN -

Keputusan Mahkamah Rayuan esok akan menentukan nasib Syed Saddiq sama ada sabitan dan hukuman akan diteruskan atau sebaliknya. Jika rayuan diterima, beliau akan dibebaskan dan hukuman tersebut dibatalkan. Jika sebaliknya, beliau masih boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Kes ini mendapat perhatian meluas daripada rakyat, ahli politik dan penganalisis kerana ia melibatkan seorang figura muda dalam politik yang dianggap sebagai harapan baru negara. Keputusan ini juga penting untuk imej institusi kehakiman dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.

Semoga keputusan yang akan diumumkan nanti mampu menjunjung prinsip keadilan dan kebenaran.

- IKLAN -

Kredit – Berita Harian