“Datang sekolah nak jumpa girlfriend saya je” – Murid

Ternyata, mempunyai dan bertugas dalam laluan kerjaya guru dalam zaman sekarang bukanlah perkara yang mudah. Bukan sahaja perlu berhadapan dalam sistem pendidikan yang sering bertukar malah, perlu membentuk anak-anak bangsa yang dilihat makin ‘tersasar’ dari segi kelakuan dan adab.

Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan tindakan biadab seorang pelajar lelaki terhadap guru wanita mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

KERJAYA GURU ‘DICABAR’ SIKAP BIADAP PELAJAR SEKOLAH, “SAYA DATANG SEKOLAH NAK JUMPA GF JE!”

Rakaman penuh yang dikongsi di platform X itu menunjukkan seorang pelajar lelaki secara terbuka bertikam lidah dengan guru dan mengaku hadir ke sekolah bukan untuk menuntut ilmu, sebaliknya hanya ingin bertemu teman wanitanya.

Sikap dan jawapan pelajar itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang rata-rata kecewa dengan tingkah laku generasi muda masa kini. Cikgu yang berhadapan dengan situasi tersebut pun pening kepala ingin melayan dan meredakan situasi!

- IKLAN -

“Saya datang sekolah sebab nak jumpa teman wanita saya,” ujar pelajar itu sambil menyilangkan kaki ketika menjawab pertanyaan gurunya.

Tiada Minat Belajar, Hanya Mahu Bertemu Kekasih

Dalam perbualan tersebut, pelajar itu memang mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menimba ilmu ketika hadir ke sekolah. Reaksi pelajar tersebut menggambarkan seolah-olah dia langsung tidak gentar dengan teguran yang diberikan oleh gurunya.

Kelakuannya turut menunjukkan rasa tidak hormat apabila dia beberapa kali mendongakkan kepala dan menyandar sambil gurunya menegur.

Lebih mengejutkan, dia juga memberi kebenaran kepada gurunya untuk menyerahkan rakaman video pengakuannya itu kepada pihak sekolah.

“Datang sekolah semata-mata nak jumpa girlfriend, bukan nak belajar. Memang serius dah kes ni. Tak pasti sekolah mana, tapi kalau ibu bapa dia tengok video ni, tak tahulah apa jadi,” tulis seorang pengguna akaun X yang memuat naik video tersebut.

“Kesiannya parents dia, beria lah hantar sekolah cari duit nak bagi duit belanja belikan itu ini semata-mata nak bagi anak pergi sekolah. Anak pergi sekolah tengok muka girlfriend je..”– komen salah seorang netizen.

*Semoga para pendidik kekal tabah dalam proses mendidik anak-anak muda terutamanya yang masih berada di bangku sekolah. Buat ibu bapa juga, mulakan didikan mengenai adab di rumah, kerana andalah yang mencorakkan mereka terlebih dahulu.

Video :

Sumber: The Rakyat Post, X @kamaghuldeghaman via SirapLimau