Penduduk kampung kongsi kisah hidup Mekmah dan anak oku

Tular di media sosial memaparkan dua beranak berpegangan tangan dan berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka kira-kira jam 8.15 pagi, semalam.

Mereka dilaporkan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat.

Dua beranak berpegangan tangan

Mayat Muhammad Rosman,19, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui di ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit kira-kira pukul 5.25 petang semalam.

Sementara itu, mayat ibunya Salmah Mat Zain, 46, dijumpai kira-kira 50 meter daripadanya pada pukul 7.45 pagi ini.

Bapa saudara kepada Allahyarhamah Salmah, Md Tajuddin Awang Muhammad, 47, berkata, hubungan dua beranak itu sangat rapat dan selalu bersama.

Ketika kejadian, Allahyarham Rosman juga dilihat memegang tangan ibunya sebelum dihanyutkan arus deras.

“Hubungan mereka sangat rapat dan pergi ke mana-mana pun bersama. Masa kejadian itu pun Rosman pegang tangan mak dia, mereka juga dilihat berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras,”ujarnya.

Ujarnya, Salmah yang menyara hidup sebagai penoreh getah hanya tinggal berdua dengan anaknya di kampung itu sementara Muhammad Rosman masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap dengan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Mayat dua beranak itu ditemui berhampiran antara satu sama lain iaitu pada jarak kira-kira 50 meter sahaja.
“Itu menunjukkan mereka tetap bersama ketika dihanyutkan arus banjir ketika kejadian semalam,” katanya.

Md. Tajuddin berkata, meskipyun dia tinggal satu kampung dengan dua beranak itu tetapi mereka jarang berjumpa antara satu sama lain.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Kampung Tanjung Kanan, hari ini.

Arwah pelajar yang baik, bertanggungjawab

Sementara itu, seorang guru kepada Muhammad Rosman iaitu Norhidayah Shaari, 40, tidak dapat menahan sebak dan akui arwah seorang pelajar yang baik sepanjang enam tahun mengenali dan mengajarnya di SMK Padang Terap.

“Sebaik sampai di lokasi, saya tengok tempat Rosman dan ibunya hilang sambil sebut beberapa kali Rosman timbullah, timbullah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai.
“Dia seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi sangat baik dan bertanggungjawab. Arwah patuh segala arahan yang diberikan dan saya berhasrat untuk bantu dia menduduki Sijil kemahiran Malaysia (SKM), selain mencari pekerjaan buatnya kelak, namun semuanya tidak kesampaian,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, ini penduduk setempat kongsi kisah hidup 2 beranak:

Sumber: Utusan Online (Muhamad Aimy Ahmad)

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.