Ebby Yus Berjaya Genggam Ijazah Kehormat Doktor Persilatan. Tahniah!

Pelawak dan pelakon Ebby Yus terima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persilatan yang telah berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Hotel Riverside Melaka pada Ahad lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Ebby atau nama lengkapnya Muhammad Yunus Abdul Rashid pada awalnya menolak anugerah tersebut kerana merasakan ada individu yang lebih layak untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Ebby Yus terima anugerah

“Pihak mereka hantar surat dah dua minggu untuk pencalonan saya dalam Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persilatan tapi mulanya saya jawab secara baik menolak kerana rasa macam tak layak.

“Tapi rakan saya, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin tanya saya kenapa tolak. Mereka sebenarnya hubungi dia untuk dapatkan saya. Namun saya tetap jawab tak layak terima. Banyak lagi orang lain yang sepatutnya terima.

“Ustaz bagi sebab kenapa saya terpilih. Dari situ saya hubungi semula wakil penganjur, Dr Meor dan tanya atas kapasiti apa saya terpilih. Dia jawab saya sudah disenarai pilih oleh majlis Senat Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd pada mesyuarat Senat 12 Januari 2024.

“Saya dilihat paling sesuai dalam mengangkat silat dalam industri hiburan TV dan filem. Bila dengar, saya akui pernah jadi koreografer drama dan filem untuk silat,” katanya.

Bagaimanapun, Ebby secara rasmi menerima gelaran Ijazah Kehormat Persilatan Sedunia iaitu Ijazah Doktor Persilatan (Honorary Doctorate of Martial Art) daripada Akademi Persilatan Sedunia (APS) yang disampaikan oleh Presiden Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd, Profesor Dr Zainal Abidin Sakom.

Ebby Yus terima anugerah

“Saya sebenarnya tak tahu adanya Akademi terbabit. Ini adalah kali kedua penganjuran anugerah dibuat. Saya buat kerja selama ini pun ikhlas sahaja tanpa mengharapkan apa-apa anugerah.

“Tapi apabila diberikan, saya terima. Kalau saya tolak nanti nampak macam sombong pula. Ini juga satu penghargaan atas kerja keras yang saya lakukan selama ini.

“Sampai sekarang pun saya masih angkat budaya silat Melayu dengan cara saya. Secara tidak langsung ia memberikan semangat untuk kita teruskan. Bukan sebab saya hebat atau apa,” kata Ebby.

Untuk makluman, pelakon sitkom komedi Simpang Tiga mula terlibat dalam dunia persilatan sejak kecil lagi malah pernah menyertai Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia.

Sumber: Harian Metro (Ridzuan Abdul Rahman)

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.