Fahmi Fadzil Ambil Tindakan Tegas Isu Penyampai Radio Persenda Agama

Tular di media sosial hari ini penyampai radio popular iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin (Pak Azad) dan Radin didakwa mempersenda upacara agama lain.

Video kejadian ini telah dimuat naik di platform media sosial dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen.

Susulan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kontroversi tersebut

MCMC panggil pihak Astro dan stesen radio terlibat

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Astro serta pengurusan stesen radio yang terlibat akan dipanggil ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.

Ini bertujuan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, tiga penyampai radio berkenaan telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan mereka.

- IKLAN -

Mereka mengakui tindakan tersebut tidak wajar dan menyesali perbuatan dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Penyampai Radio Terkenal Didakwa Persenda Agama

Menerusi video yang dimuat naik, mereka menjelaskan bahawa tiada niat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dan mereka amat menghormati kepercayaan setiap individu tanpa mengira bangsa atau agama.

Kami dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf atas kandungan kami baru-baru ini yang telah menyentuh sensitiviti ramai pihak, khususnya rakan-rakan kami yang berbangsa India. Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan.- Kata mereka.

Azad terima teguran orang ramai…

Azad atau nama sebenarnya Azad @ Jazmin John Louis Jefri turut menegaskan bahawa mereka sentiasa terbuka menerima kritikan bagi memperbaiki diri, terutamanya buat pendengar setia Era FM.

Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen ataupun kritikan untuk memperbaiki lagi. Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan kami tanpa sedar yang kami lakukan.- Ujar Azad.

Kontroversi ‘Vel Vel’ cetus kecaman…

Terdahulu, Pemuda MIC, Siva Shanker Santasegran, mengecam tindakan tiga penyampai tersebut kerana dikatakan mempersenda mantera suci Hindu, Vel Vel.

Menurut Siva, mantera tersebut amat dihormati oleh jutaan penganut Hindu di seluruh dunia dan melambangkan keimanan serta kekuatan.

Penggunaan Vel Vel dalam konteks jenaka bukan sahaja tidak menghormati, malah menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap budaya dan agama.- Tegasnya.

Pemuda MIC turut menggesa pihak stesen radio berkenaan untuk mengadakan latihan kesedaran mengenai budaya lain bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang lagi.

 

Kes seperti ini jadi pengajaran penting buat semua, terutama dalam industri hiburan. Hormat-menghormati antara agama dan budaya memang kena jaga.

Sumber – OHMedia