Ira tuntut RM3000 kos kehadiran sbb Syamsul menyusahkan tapi dapat RM200
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, memerintahkan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof membayar kos kehadiran RM200 kepada bekas isterinya, Ira Kazar.
Perkara itu diputuskan oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada jam 3 petang tadi.
Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata, pihaknya memohon kos kehadiran RM3,000 kerana menyusahkan pihak defendan iaitu Ira dan plaintif (Syamsul) tidak berterus-terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu.
“Kes sudah selesai, kami hadir untuk tutup terus kes permohonan cerai difailkan oleh Syamsul. Kes difailkan Ira juga sudah selesai pada 5 September lalu.
“Hari ini pihak Syamsul mahu menarik balik permohonan dan memohon kos kehadiran.
“Mahkamah sudah meluluskan dan memerintahkan kos RM200 diberikan. Cuma, saya kesal lafaz cerai berlaku pada Jun, tapi tindakan diambil pada Ogos bukan merujuk pada pengesahan lafaz cerai, tapi sebaliknya permohonan cerai biasa.
“Sebab itulah kami failkan di Kuala Selangor. Sebab kalau Syamsul tidak failkan, Ira kena failkan. Berikutan itu, ramai yang keliru.
“Hari ini pihak Syamsul tarik balik kes dan tutup terus,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Aris berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kos kehadiran dituntut defendan RM3,000 kerana menyifatkan proses perceraian yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu menjimatkan masa semua pihak.
“Sepatutnya hari ini pihak kami ingin menarik semula permohonan membabitkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) difailkan Syamsul pada 19 Ogos lalu.
“Pihak saya sudah memfailkan notis penarikan semula kes difailkan. Bagaimanapun, Ira yang hadir bersama peguam memohon kos kehadiran RM3,000 kepada mahkamah.
“Bagi saya, apa penting sekarang adalah kedua-dua pihak sudah ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor untuk menyelesaikan isu pelanggaran taklik pada hari sama dan menerima keputusan itu.
“Jadi, kami percaya sedikit sebanyak perkara ini sudah menjimatkan masa dan kos kedua-dua pihak,” katanya.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan masih bergelar suami isteri.
Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.
Pada 19 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.