Keadaan Terkini Dharma Harun, Makin Kurus Tapi Tetap Tabah: “Tak Apa, Janji Masih Boleh Solat”

Anak kepada pelakon veteran terkenal era 90-an, Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq, baru-baru ini berkongsi keadaan terkini bapanya menerusi Instagram Story (IGs), yang sedikit sebanyak meruntun hati netizen.

Dalam hantaran tersebut, Syafiq memuat naik gambar Dharma sedang duduk di kerusi sambil menyatakan bahawa kesihatan bapanya kini semakin merosot. Berat badan pelakon yang popular menerusi filem lagenda “Adik Manja” itu juga dilihat menurun secara ketara sejak kebelakangan ini.

Namun, walaupun dalam keadaan serba mencabar, Syafiq tetap positif dan menyifatkan segala yang dilalui mereka ketika ini sebagai ujian yang perlu ditempuhi dengan sabar.

“Ayah saya semakin kurus, tapi inilah dugaan kami dengan macam-macam masalah nak hadapi.”

Namun begitu, Syafiq optimis bahawa setiap masalah datang bersama hikmah, malah yakin semua ini akan menjadi motivasi untuk dirinya lebih cemerlang dalam pelajaran demi masa depan yang lebih baik.

- IKLAN -

“Setiap masalah dan ujian adalah untuk kita berjaya. Terus berusaha agar dapat keputusan cemerlang dalam pelajaran supaya suatu hari nanti dapat kerja yang baik.”

Syafiq juga sempat berterima kasih atas sokongan ramai yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

“Sokongan ramai dan doa yang buat kami masih boleh bernafas dalam ruang udara yang sempit. Nak bersedih pun buat apa, ikutkan kecil saja dugaan ini. Ramai lagi susah di luar sana, kita kena bersyukur dan tabah.”

Sementara itu, Dharma sendiri yang sebelum ini dilaporkan mengalami kesukaran bertutur selepas terkena serangan angin ahmar pada tahun 2019, menyatakan penerimaan beliau terhadap ujian yang diberikan dengan redha dan hati terbuka.

Dalam keadaan yang serba kekurangan, Dharma tetap menunjukkan sisi tenang dan penuh reda dengan ujian hidup.

“Tak apa, isteri tak ada tetapi Allah ada. Janji masih boleh solat,” katanya ringkas tetapi penuh makna.

Dharma kini tinggal bersama Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, serta perlu bergantung kepada ubat-ubatan dan menjalani latihan tertentu untuk menguatkan semula ingatan seperti disarankan doktor.

Apa yang pasti, semangat Dharma dan keluarganya dalam menghadapi cabaran hidup ini jelas menjadi inspirasi kepada semua untuk sentiasa bersyukur walaupun dalam situasi yang mencabar.

Semoga Dharma Harun diberikan kesihatan yang lebih baik dan dipermudahkan segala urusan beliau serta keluarga. Amin.

Kredit – OhBulan