Kes Syed Saddiq Masih Belum Tamat, SPRM Akan Bawa Ke Mahkamah Tertinggi!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, berkata bahawa beliau dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai keputusan mahkamah tersebut dan rayuan akan dibuat ke Mahkamah Persekutuan.

Azam menegaskan bahawa tiada sebarang perasaan peribadi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kes ini. Beliau menekankan bahawa siasatan dijalankan secara profesional oleh pegawai SPRM dan mereka akan terus menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

Mahkamah Rayuan pada hari ini sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA). Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.

- IKLAN -

Syed Saddiq sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan tersebut. Namun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini telah mengejutkan banyak pihak, namun SPRM tetap komited untuk memastikan keadilan ditegakkan dan akan terus berusaha di Mahkamah Persekutuan.

Kredit  – OhMedia