OKU Cacat Penglihatan Muncul Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Qari Malaysia Muhammad Qayyim Nizar Sarimi muncul juara tilawah kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, lapor Bernama.

Manakala, bagi Tilawah kategori wanita, qariah Maghribi Sara Belmamoun memenangi gelaran johan.

Pada Jun lalu, Muhammad Qayyim turut dinobatkan sebagai juara Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H/2023M.

Anak sulung daripada enam adik beradik itu memperoleh markah 92.67 peratus.

Perkara itu kemudiannya sekali gus meletakkannya sebagai juara orang kelainan upaya (OKU) pertama sejak pertandingan berkenaan berlangsung pada 1947.

Sedikit latar belakang Muhammad Qayyim, beliau merupakan seorang OKU yang membaca al-Quran dalam tulisan braille dan menguasai tujuh jenis taranum.

Jenis taranum tersebut ialah Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah.

Beliau turut mendapatkan bimbingan bacaan al-Quran melalui Ustaz Yahya Daud, Ustaz Fauzi Awang, Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Husin Yunus.

Sebelum ini, Muhammad Qayyim pernah membaca al-Quran semasa majlis penutupan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di Ankara, Turki selepas dijemput oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada 2016, memetik Mywilayah.

Muhammad Qayyim merupakan alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan mempunyai ijazah Sarjana Muda Tahfiz.

Selain itu, beliau turut memiliki diploma Tahfiz al-Quran di tempat yang sama.

Sumber: BERNAMA, MyWilayah

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*