“PM ke5 telah kembali kerahmatullah pada jam 7.10mlm masa…” Kj sahkan yg beliau kini..

Negara hari ini dikejutkan dengan berita pemergian bekas Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang ini.

Pemergian figura yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah” ini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tun Abdullah yang memegang tampuk pemerintahan negara dari tahun 2003 hingga 2009, dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa lembut, berhemah serta menjunjung tinggi nilai integriti.

Antara sumbangan besar beliau sepanjang bergelar Perdana Menteri termasuklah pengenalan konsep Islam Hadhari dan Pelan Integriti Nasional yang menekankan pembangunan seimbang dari sudut rohani dan jasmani.

- IKLAN -

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, kerjaya Tun Abdullah bermula dalam perkhidmatan awam sebelum beliau menceburi dunia politik secara aktif.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas sejak tahun 1978 dan pernah menyandang jawatan penting seperti Menteri Luar Negeri serta Timbalan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Di sebalik gaya kepimpinan beliau yang tenang dan tidak gemar konfrontasi, Tun Abdullah tetap tegas dalam membangunkan negara, terutamanya dalam memperkasakan pembangunan modal insan. Atas jasanya itu, beliau turut dikenali sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan.”

- IKLAN -

Tun Abdullah meninggalkan seorang isteri, Tun Jeanne Abdullah dan empat orang anak. Seluruh rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Pssttt! Kehidupan ini bersifat sementara. Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi pengingat buat kita semua tentang pentingnya meninggalkan legasi yang memberi manfaat kepada masyarakat. Jadilah pemimpin, walaupun kecil, yang menebar nilai integriti, kesederhanaan dan kasih sayang.

Bekas Menteri Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pemergian bekas Perdana Menteri ke-5 , Tun Abdullah Ahmad Badawi kira-kira pukul 7.10 malam tadi adalah dalam keadaan tenang dan aman.

Ujarnya, pemergian tokoh Islam Hadhari itu ditemani oleh seluruh keluarga Allahyarham termasuklah isteri, Tun Jeanne Abdullah.

“Allahyarham telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara sejak awal pagi semalam.

“Banyak ucapan takziah yang kami terima, untuk itu kami mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya dalam sidang akhbar malam ini.

Terdahulu Khairy menyampaikan berita sedih itu menerusi hantaran Insta Story yang dimuat naik kira-kira 7.30 malam tadi.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia Ke-5 telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.10 pm di Institut Jantung Negara KL.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan menempatkan roh dalam kalangan roh orang-orang beriman dan beramal soleh,” tulisnya.

Kredit: Buletin TV3, Kosmo