Penat Tapi Berbaloi – Kisah Inspirasi Wanita Terbang 2 Jam Sehari Demi Keluarga

Bayangkan bangun pagi buta, bersiap dengan pantas sebelum subuh, dan terus menuju ke lapangan terbang untuk naik kapal terbang — bukan untuk bercuti, tapi untuk ke tempat kerja.

Itu rutin harian Racheal Kaur, seorang ibu kepada dua anak, yang sanggup ulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur setiap hari demi masa bersama keluarga dan jimat kos hidup.

Racheal bukan saja seorang wanita biasa, dia Penolong Pengurus Operasi Kewangan di AirAsia.

Setiap pagi, sebelum matahari naik, dia sudah bersiap dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira jam 5.55 pagi.

- IKLAN -

Dengan penerbangan jam 6.30 pagi, perjalanan 30 minit ke KLIA menjadi ‘jalan pintas’ untuk terus ke pejabat.

Kenapa pilih cara pelik ni? Sebelum ini, dia pernah tinggal di Kuala Lumpur, tapi kos sewa rumah yang tinggi antara RM1,400 hingga RM1,500 sebulan buat dia berfikir dua kali.

Belum lagi kos makan dan perbelanjaan lain yang semakin membebankan. Jadi, dia putuskan untuk tinggal di Pulau Pinang dan terbang setiap hari — kos tiket khas pekerja AirAsia hanya sekitar RM50 satu perjalanan, jadi sebulan cuma lebih kurang RM1,100.

Lebih jimat dan masuk akal berbanding sewa rumah di KL!

Selain penjimatan kos, ada sebab lain yang buat Racheal tak lokek tenaga: anak-anaknya. Dengan dua anak berusia 11 dan 12 tahun, Racheal mahu sentiasa ada di sisi mereka.

“Bila tengok anak-anak membesar, saya rasa kena ada dekat dengan mereka. Saya nak balik rumah dan bantu mereka buat kerja sekolah walaupun selalu last minute,” katanya sambil tersenyum.

Rutin ini memang letih. Bangun awal, bergerak ke lapangan terbang, kerja seharian di pejabat, dan balik ke rumah lewat malam. Tapi semangat seorang ibu dan kasih sayang buat dia tabah.

Baginya, masa yang dia luangkan dengan anak-anak adalah hadiah paling berharga yang tak boleh dibeli dengan wang.

Kisah Racheal mengingatkan kita bahawa kadang-kadang, pilihan luar biasa itu perlu dibuat demi yang tersayang. Walaupun penat, asalkan hati tenang dan keluarga bahagia, segala pengorbanan berbaloi.

Video :

Sharekan artikel ini jika anda seronok membacanya.

Kredit – gempak