Pengantin Lelaki Melopong Rugi RM30 Ribu- Tunang Lesap Di Hari Nikah, Rupanya Isteri Orang Anak 2
Seorang bakal pengantin lelaki kecewa bakal isteri tidak muncul pada hari pernikahan.
Wang hantaran berjumlah RM8,000 lesap dan terpaksa menanggung rugi apabila telah mengeluarkan segala kos persiapan perkahwinan bernilai ribuan ringgit.
Menerusi Facebook, lelaki berkenaan mendakwa mengenali wanita itu sejak 2021 dan melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lalu di Kuching, Sarawak.
Pengantin Lelaki Melopong Rugi RM30 Ribu- Tunang Lesap Di Hari Nikah, Rupanya Isteri Orang Anak 2
Foto: mStar
Dakwanya, mereka sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah pada 10 November (Jumaat) dan majlis persandingan pada 11 November (Sabtu) di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.
“Hari yang sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia untuk aku tetapi jadi mimpi ngeri.”
Dia yang menyertai rombongan keluarga seramai 22 orang tiba di Daro, Mukah pada petang Khamis untuk menginap di sebuah homestay yang ditempah oleh bakal pengantin perempuan.
Namun mereka terkejut apabila pemilik homestay memaklumkan tiada sebarang tempahan bilik diterima pada tarikh berkenaan.
“Aku pun telefon bakal pengantin perempuan berkali-kali tapi tiada respons. Disebabkan dah terlalu penat sangat, nak tak nak terpaksa juga bayar guna duit sendiri untuk homestay termasuk perbelanjaan lain yang sepatutnya diuruskan pihak pengantin perempuan.
“Waktu ni aku dah rasa lain macam dah, macam ada yang tak kena, sebab dia cakap semua dah diuruskan tapi aku cuba berfikir positif lagi dan berehat serta persiapkan apa yang patut untuk majlis kami keesokan hari,” ujarnya.
Pada hari yang sepatutnya berlangsung akad nikah, katanya, dia bersama rombongan yang membawa barang hantaran berkunjung ke rumah bakal pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda-tanda ada majlis dibuat sebaik tiba di lokasi.
“Sampai je kat situ dah rasa pelik sebab macam tak ada apa-apa sambutan, kosong! Persiapan majlis langsung tak ada. Aku cuba telefon bakal pengantin perempuan dan bapa dia, dua-dua tak dapat telefon.
“Alamat betul, tapi rumah tak ada orang. Memang dah agak ada sesuatu yang tak kena. Kami putuskan untuk pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah tu adalah ibu saudara si pengantin perempuan.
“Kami beritahu tujuan datang dan tanya pasal pengantin perempuan. Kami bertambah geram dan terkejut apabila diberitahu nama sebenar dia lain. Lagi parah perempuan tu sudah berkahwin dan ada dua anak,” katanya.
Menyuarakan kekesalannya, lelaki berkenaan tidak menyangka dan percaya bapa kepada bakal pengantin perempuan juga bersubahat dalam penipuan ini.
“Ayah dia pun tak jujur dari awal. Kenapa seorang ayah sanggup biarkan anak dia bertunang dengan aku sedangkan dia sendiri tahu anak dia tu bini orang? Memang tak terkata, kecewa, marah, sedih semua ada, tak mampu dah aku nak cakap apa masa tu.
“Dengan kos kerugian persiapan perkahwinan lagi. Duit hantaran dah diberi juga, maruah keluarga aku lagi, mana nak letak? Kami datang dari jauh dan rasa tertipu,” katanya.
Susulan itu, dia bersama keluarga membuat laporan polis berhubung penipuan tersebut yang mengakibat kerugian berjumlah kira-kira RM30,000.
Namun tidak dijelaskan sama ada nilai kerugian itu termasuk wang hantaran RM8,000.
Berhubung persoalan ramai berhubung proses daftar nikah, lelaki berkenaan di ruangan komen mendakwa segalanya diuruskan oleh pihak perempuan.
“Dia cakap dah uruskan semua sebab nak akad nikah kat sebelah pihak perempuan. Persiapan pun dah dibuat untuk majlis katanya.
“Aku dah bagi semua dokumen berkaitan kat dia dan aku anggap semua dah selesai masa tu, tinggal nak kahwin je. Jadi, aku beranggapan dia dah buat,” katanya.
Malah, dia turut mendakwa wanita yang sepatutnya menjadi isterinya itu bertugas dalam pasukan badan beruniform.
“Kau dah malukan aku dengan keluargaku. Kau tu kerja badan beruniform, tapi kenapa perangai kau tak macam baju yang kau pakai tu? Kau dah mencemar dan merosakkan imej jabatan.
“Kami sekeluarga pun dia berani tipu apa lagi dalam jabatan. Harap ada tindakan yang tegas diambil ke atas anggota ini,” katanya lagi.
Sumber: mStar
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.