PM Anwar luang 30 minit jumpa Amir Raja Lawak, tanya khabar bapa di HUSM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan kira-kira 30 minit bertemu pelakon dan pelawak terkenal, Amir Raja Lawak (Mohammad Amirullah Azmi), di premis ayam goreng milik artis itu berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sekitar jam 4 petang tadi.

Pertemuan ringkas itu dihadiri bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Selain beramah mesra, Perdana Menteri difahamkan bertanyakan perkembangan kesihatan bapa Amir yang kini menerima rawatan akibat kanser usus di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Anwar dan Mohd Nassuruddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Amir sebelum beredar. Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai di kawasan sekitar premis berkenaan.

- IKLAN -

Kunjungan itu berlaku susulan hantaran Amir di Facebook semalam yang menzahirkan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri. Amir berkata beliau dimaklumkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi, bahawa Anwar akan singgah di kedainya.

“Saya bersyukur dan terharu bila dimaklumkan Perdana Menteri tahu tentang masalah saya. Ingatkan beliau seorang saja datang, rupanya ramai pemimpin besar hadir,” kata Amir.

Lawatan singkat tersebut dibuat sewaktu Anwar berada di Kelantan bagi merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) lebih awal pada hari yang sama. Selepas sesi di premis Amir, rombongan Perdana Menteri meneruskan atur cara rasmi di negeri berkenaan.

Terdahulu, Amir menarik perhatian umum apabila memohon bayaran tertunggak daripada sebuah stesen televisyen bagi menampung kos rawatan bapanya, selain menerima sokongan moral dan bantuan daripada rakan-rakan artis.

Sumber – Bernama, FB Amir Raja Lawak