PU Riz Syukur Kes Penipuan Jual Beli Kereta Toyota Vellfire Berjaya Diselesaikan

- IKLAN -

PENCETUS Ummah (PU) Riz atau nama sebenarnya Harris Ismail meluahkan rasa syukur selepas kes saman yang difailkan terhadap sebuah syarikat jual beli kereta berhubung penjualan Toyota Vellfire miliknya berjaya diselesaikan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut PU Riz, kejadian itu berlaku sejak 2016 apabila beliau menjual kereta tersebut pada harga RM180,000 kepada syarikat berkenaan. Bagaimanapun, baki hasil jualan sebanyak RM80,000 gagal diterima kerana telah dilarikan oleh seorang kakitangan syarikat terbabit walaupun resit pembayaran baki sudah diberikan.

PU Riz syukur syarikat jual beli kereta setuju membuat pembayaran penyelesaian. 

“Pihak syarikat bersetuju membeli kereta saya dengan nilai harga pasaran sebanyak RM180,000. Selepas tolak baki bayaran bank sebanyak RM100,000, pihak syarikat sepatutnya menyerahkan RM80,000 kepada saya. Malangnya duit itu dilarikan oleh pekerja syarikat itu walaupun resit pembayaran baki kereta sudah diberikan,” kata PU Riz kepada mStar.

Tidak berdiam diri, PU Riz nekad mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan kes tersebut di mahkamah. Selepas melalui proses perbincangan, syarikat jual beli kereta bersetuju membayar penyelesaian sebanyak RM60,000 kepada PU Riz dalam tempoh tiga bulan.

“Mahkamah kemudian mendengar dan bersetuju untuk pihak defendan bayar semula duit yang dilarikan wakil syarikat itu,” tambah PU Riz yang diwakili peguam Wan Amir Akram Zainal Abdin dan Elly Jasmin Aminuddin dari firma guaman Tetuan Amir & Elly Associates.

Syarikat jual beli kereta perlu membayar RM60,000 kepada PU Riz. 

PU Riz turut mengambil kesempatan untuk memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam urusan jual beli bagi mengelakkan penipuan sebegini.

“Saya harap apa yang berlaku kepada saya ini menjadi pengajaran kepada semua. Pastikan anda berurusan dengan pihak yang betul dan menyemak segala dokumen yang diberikan sebelum tanda tangan. Sekarang ini kes penipuan semakin berleluasa, jadi kita perlu lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya dengan pihak tidak dikenali,” nasihatnya.

Beliau juga menegaskan pentingnya membuat semakan latar belakang individu atau syarikat yang ingin diuruskan agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Kes ini bukan sahaja berakhir dengan penyelesaian yang baik tetapi turut menjadi peringatan bahawa kejujuran dan kewaspadaan adalah kunci utama dalam setiap urusan jual beli.

Kredit – Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*