Ajai ‘Sound’ 4U2C, AC Mizal Tak Boleh Berdiam – Ini Jawapannya!

- IKLAN -

Datuk AC Mizal meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan sahabatnya, komposer terkenal Ajai, berhubung kontroversi hak cipta dan pemilikan lagu yang melibatkan konsert WE 4U2C Live In Concert yang dijadualkan berlangsung September depan.

Mizal Zaini, 53, atau lebih dikenali sebagai AC Mizal, berkata kenyataan yang dikeluarkan Ajai dalam satu temuramah bersama media Ahad lalu seolah-olah memberi gambaran kumpulan 4U2C tidak berhak mementaskan konsert tersebut, sekaligus dilihat seperti cuba menutup periuk nasi mereka.

“Ajai kawan baik saya. Tetapi saya kecewa apabila dia buat kenyataan macam itu. Sedangkan, Ahad lalu, kira-kira jam 6 petang, dia telefon saya dan beritahu dia ada beri kenyataan. Malah, dia juga cadangkan saya saman Man Senoi. Malam itu, saya terkejut apabila terbaca kenyataan dia yang dilapor menyebut 4U2C tidak boleh buat konsert. Kenapa hendak tutup periuk nasi orang? Apa masalah awak dengan kami?” ujar AC dalam sidang media tergempar yang diadakan di sini hari ini.

TONTON RAKAMAN TEMBUAL BERSAMA AC MIZAL OLEH BH

Rakaman video temuramah bersama Ajai itu telah dimuat naik ke sebuah portal hiburan dan menjadi viral sejak Ahad lalu, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat seni dan peminat.

AC menegaskan, sebagai seorang yang sudah lama dalam industri muzik, Ajai sepatutnya lebih memahami sensitiviti dan selok-belok undang-undang hak cipta yang melibatkan karya muzik tempatan.

“Ajai sudah lama dalam industri muzik, tetapi suka beri komen. Dia tak betul-betul tahu undang-undang muzik di Malaysia. Jadi, macam mana boleh komen mengenai muzik dan konsert kami?” katanya dengan nada kecewa.

Walaupun berasa kecewa, AC terharu dengan sokongan padu yang diterima daripada rakan-rakan artis ternama yang menyokong usaha dan keputusan kumpulan 4U2C untuk meneruskan konsert.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Zainal Abidin yang hubungi saya dan suruh teruskan konsert kerana bukan salah kami. Datuk Amy Search pun ada mesej dan suruh saya semak lagu dalam platform digital. Datuk Norman Abdul Halim pula mesej dari Singapura selepas konsert KRU dan cadangkan kami nyanyi lagu ciptaan KRU. Dia pun setuju dengan tindakan saya,” jelasnya.

AC menegaskan, pihak mereka tidak mahu bermusuh atau menimbulkan konflik dengan sesiapa, sebaliknya ingin mempertahankan hak dan martabat pemuzik tempatan demi memartabatkan industri muzik tanah air.

“Kami tidak mahu lawan siapa-siapa. Kami cuma hendak tunjuk kami tidak salah. Kami hendak betulkan industri muzik kita,” tegasnya.

Isu ini menjadi perhatian ramai kerana ia melibatkan pertindihan hak cipta dan kepentingan artis tempatan yang semakin hangat diperkatakan, terutama dalam era digital kini di mana perlindungan hak intelektual semakin penting.

Kredit – BH Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*