Rumah Dirobohkan, Rafidah Ibrahim Sebak & Dakwa Hak Penduduk Dinafikan

KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim, meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas rumahnya di Kampung Sungai Baru dirobohkan dalam operasi pengosongan yang berlangsung pada 11 September lalu. Beliau dan keluarga kini hilang tempat berteduh dan terpaksa menumpang di rumah jiran.

Dalam luahan penuh emosi, Rafidah menceritakan keperitan yang dihadapinya kini.

“Terus terang cakap, saya, keluarga dan anak tak tahu nak pergi ke mana. Rumah saya dah tentu dirobohkan (rumah flat), sekarang saya menumpang di rumah jiran,” katanya.

 

Dakwa Pemaju Guna Gengster dan Pihak Berkuasa

- IKLAN -

Keadaan menjadi lebih tegang apabila Rafidah mendakwa pihak pemaju sebelum ini telah menggunakan cara kotor untuk menakut-nakutkan penduduk, termasuk didakwa mengupah gengster.

Beliau turut mempersoalkan penggunaan khidmat polis semasa operasi perobohan tersebut, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan seolah-olah kuasa pemaju melebihi undang-undang.

“Tak kisahlah katanya sedang bertugas atau apa, mana hati perut? Sepatutnya hari ini pengosongan, tetapi mereka pecahkan dan bawa keluar semua barang, main letak sesuka hati,” luahnya, kecewa dengan cara barang-barang penduduk dikendalikan.

 

Rayuan di Mahkamah Belum Didengar

Isu utama yang dibangkitkan oleh Rafidah dan penduduk lain adalah tindakan perobohan itu dijalankan sebelum mereka sempat membuat rayuan di mahkamah.

Menurutnya, penduduk sepatutnya mempunyai peluang untuk membuat rayuan penangguhan di mahkamah pada 3 Oktober ini. Namun, operasi pengosongan dan perobohan telah dijalankan lebih awal pada 11 September.

Situasi ini menyebabkan penduduk merasa hak mereka untuk mendapatkan pembelaan yang adil telah dinafikan, kerana tindakan drastik diambil sebelum proses perundangan selesai sepenuhnya. Isu ini menyoroti konflik pembangunan yang didakwa mengabaikan hak dan kebajikan penduduk setempat.