“Tiba-Tiba Muka Saya Senget, Tangan Kiri Tak Dapat …” – Keluarga Mohon Doa Orang Ramai Buat Esma Daniel

Pelakon terkenal Esma Daniel, 55, telah mendedahkan bahawa dia telah selamat menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku di otaknya yang menjadi punca kepada serangan strok yang dialaminya. Pelakon itu telah berkongsi kisahnya itu di laman Facebook Malaysia Runners.

Esma dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 11 November yang lalu. Menurut perkongsiannya, dia telah diserang strok pada malam sebelumnya iaitu 10 November, selepas melakukan rutin lariannya.

‘Tiba-tiba saya merasakan tangan kiri saya tidak dapat mengangkat gelas minuman. Isteri saya mendapati muka saya agak herot pada ketika itu,” tulisnya di laman Facebook.

Menurutnya lagi, apabila dia cuba untuk berdiri, dia mendapati bahawa kaki kirinya terlalu lemah. Dia hampir rebah tetapi disambut oleh isterinya, Nur Atira Mazlan, 31.

“Saya yang menghadapi hipertensi mendapati tekanan darah tinggi mendadak naik dan cuba baring dengan kedudukan kaki dinaikkan.

“Saya cuba tenangkan diri dan perlahan-lahan tekanan darah turun sedikit,” katanya lagi.

Tulisnya lagi dalam perkongsian itu, isterinya telah menyarankan untuk pergi ke hospital. Namun, dirinya berkata bahawa keadaannya akan bertambah baik dan akan pergi ke klinik pada keesokan harinya.

Tetapi, pada keesokannya harinya itu, jam 4 petang, dia telah ditahan di wad kecemasan HCTM. Pada ketika itu, menurutnya, doktor yang bertugas menyesali tindakan Esma yang lewat ke hospital.

“Dia terangkan kepada saya, jika saya datang awal pihak hospital akan menggunakan teknik ‘trombektomi endovaskular’ iaitu rawatan terkini untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar di otak,” kata Esma.

Doktor berpendapat bahawa Esma perlu diberikan peluang untuk menjalani rawatan itu kerana dia rajin bersukan dan ia memberi kemungkinan bahawa otak dan organnya masih berfungsi selepas 24 jam diserang strok.

Darah Beku Di Otak

CT scan mendapati lebih kurang 3 milimeter darah beku tersumbat di otak saya, namun otak saya masih belum rosak,” kongsinya lagi.

Esma turut memberitahu rawatan itu diharapkan dapat menyelamatkan otak dan organnya daripada rosak akibat darah beku itu. Kemudiannya, setelah mendapat persetujuan daripada dirinya dan juga waris, rawatan ‘trombektomi endovaskular’ itu dilakukan.

Menurut perkongsian itu, selepas menerima rawatan, CT scan dilakukan sekali lagi dan mereka mendapati darah beku itu sudah tiada.

Justeru dia telah ditempatkan di wad rawatan rapi (SCU) selamat empat hari. Ianya untuk memastikan jantungnya tidak berkait dengan strok yang dialaminya.

“ECG dan ultrasound dilakukan kepada saya. Alhamdulillah, jantung saya berada dalam keadaan baik dan tidak berkait dengan serangan strok yang saya alami,” kata Esma.

Dalam perkongsiannya itu juga, Esma Daniel turut mengucapkan terima kasih kepada doktor-doktor yang telah membantu dalam rawatannya itu.

Selain itu, dia juga menasihati agar orang ramai perlu berhenti merokok atau menghisap vape demi nyawa mereka sendiri.

Sumber: Esma Daniel via Malaysia Runners

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.