Linda Hashim dakwa Beego culas nafkah, bayar hanya bila diminta

PETALING JAYA, 25 Julai 2025 – Pelakon Linda Hashim menzahirkan kekecewaan terhadap suaminya, aktor Beego, yang didakwa tidak konsisten menunaikan nafkah tiga anak mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut Linda, 41, Beego hanya akan mengirim wang setelah diminta dan jumlah tersebut dikatakan jauh daripada mencukupi untuk menampung yuran persekolahan serta perbelanjaan harian keluarga.

“Kalau ada surat pekeliling sekolah barulah dia bank in. Barang dapur dan belanja lain semuanya saya tanggung,” katanya ketika dihubungi mStar semalam.

Linda (paling kanan) mendakwa suaminya mengabaikan nafkah terhadap anak-anak.

Pelakon drama La Dolce Amira itu turut mendakwa suaminya – yang kini mempunyai pendapatan tetap ­– kerap memindahkan amaun kecil beberapa kali seolah‑olah mahu mengumpul bukti transaksi untuk prosiding mahkamah.

- IKLAN -

“Dia transfer sikit‑sikit, jumlah berbeza… saya tahu tujuannya supaya boleh tunjuk bukti ‘bayar nafkah’, tetapi hakikatnya ia sekadar bil telefon atau bayaran aktiviti sekolah,” jelasnya.

Linda turut mempersoalkan hak nafkah dirinya sendiri memandangkan mereka masih suami isteri secara sah. Kes penceraian pasangan itu, difailkan Januari lalu atas alasan tiada persefahaman, masih berjalan di Mahkamah Syariah.

Linda mahu Beego (kanan) melepaskannya untuk berpisah.

- IKLAN -

“Dia tak mahu lepaskan (cerai) tetapi nafkah untuk saya tiada. Duit anak pun tak cukup. Dekat mahkamah tak nak lepaskan, di luar pula bertindak seolah‑olah sudah bercerai,” katanya.

Linda dan Beego, atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkahwin pada Jun 2013. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata: Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6. Pasangan itu pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum rujuk pada 9 April tahun sama, namun hubungan mereka dilaporkan kembali goyah selepas beberapa bulan.

Sumber – Mstar.com.my