“Bila ada musibah, masa tu lah baru nak ambil tindakan..” -Netizen

Polis hari ini mengesahkan kematian bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama di sini semalam akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan bedah siasat terhadap Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Alor Gajah semalam.

“Proses bedah siasat bermula pada 7.30 malam hingga 10.45 malam dan mendapati punca kematiannya disebabkan lemas. Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki berusia lapan bulan itu,” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bapa mangsa, Mejar Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 39, mendakwa bayinya disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh pengasuh taska terbabit.

Tindakan pengasuh tersebut dilihat bapa mangsa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Lebih menyedihkan apabila Mohd Fikry Amri memaklumkan isterinya terpaksa membawa sendiri bayi itu ke hospital dalam keadaan terkulai dan tidak sedarkan diri dengan mulut berdarah serta muka biru selepas dimaklumkan pihak taska.

Susulan insiden itu, seorang pengasuh wanita direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.