‘Dia bawak lori macam mana Man, ayah kau tu!’, wanita meraung di lokasi Proton Wira terperosok bawah treler di Jasin

SEORANG lelaki maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan yang bertembung di hadapan sebuah kilang pengeluar kaca di Lipat Kajang, Jasin, Melaka pada Isnin.

Video nahas itu sempat dirakam orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, sebuah Proton Wira berwarna jingga dilihat terperosok di bawah lori treler terbabit.

Berdasarkan klip tersebut, seorang wanita dilihat meraung di lokasi kejadian.

“Dia bawak lori macam mana Man, ayah kau tu!” raung wanita berkenaan yang dipercayai ahli keluarga mangsa yang maut dalam nahas terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler terbabit dalam perjalanan menuju ke jalan besar menghala ke Lipat Kajang.

“Apabila sampai di simpang, tiba-tiba Proton Wira yang datang dari arah Lipat Kajang menghala ke kilang kaca gagal mengelak dan melanggar treler terbabit.

“Pemandu Proton Wira disahkan meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mayat mangsa, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, yang bekerja sebagai pemandu bas kilang dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ahmad Jamil turut menafikan dakwaan pemandu treler terbabit merupakan anak kepada mangsa yang maut seperti mana yang tular di media sosial.

Beliau berkata, hasil soal siasat bersama waris mangsa mengesahkan keluarga itu tidak mengenali pemandu lori tersebut.

“Tiada kaitan, tiada apa-apa hubungan persaudaraan,” jelasnya lagi.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*