Proton Wira terperosok bawah treler, pemandu maut… Wanita meraung gagal tahan sedih – “Dia bawa lori tak tengok orang ke?”

SEORANG wanita tidak dapat menahan rasa sedih selepas melihat kereta yang dipandu ahli keluarganya terperosok di bawah treler, dalam kejadian yang berlaku pada pagi Isnin.

Kemalangan maut membabitkan kereta jenis Proton Wira dengan treler berhadapan sebuah kilang kaca dekat Jasin, Melaka, mengakibatkan mangsa, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menerusi video yang dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian, kedengaran wanita berkenaan meraung sambil dipeluk dan ditenangkan ahli keluarganya, kerana tidak dapat menahan kesedihan menyaksikan kemalangan berkenaan.

“Dia bawa lori macam mana Man? Itu ayah kau lah Man, ayah kau.

“Kenapa dia bawa lori macam tu? Dia tak tengok orang ke?” raung wanita berkenaan yang dipercayai ahli keluarga mangsa yang maut dalam nahas terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta dipandu mangsa gagal mengelak treler yang menuju ke simpang keluar menghala ke Lipat Kajang.

“Treler yang dipandu lelaki berusia 60 tahun itu datang dari arah kilang kaca menuju ke jalan besar simpang keluar menghala ke Lipat Kajang.

“Setiba di lokasi, kereta dipandu si mati dari arah bertentangan bagaimanapun gagal mengelak treler yang sedang keluar simpang menyebabkannya terperosok di bawah kenderaan berat itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, akibat kemalangan tersebut, mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Menurutnya lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*