Eda Ezrin & Suami Terus Ditahan di Narathiwat, Ini Punca Sbenar Mereka Masih Belum Dibebaskan

Penyanyi dikir barat terkenal, Eda Ezrin bersama suami serta empat rakan mereka, kekal berada dalam tahanan di Penjara Pusat Narathiwat selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat meluluskan permohonan lanjutan tempoh tahanan mereka sehingga 6 Ogos depan.

Menurut laporan terkini oleh Apa Khabar TV, permohonan tersebut dikemukakan oleh pihak pendakwa raya bagi mendapatkan masa tambahan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini, yang telah membebaskan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, permohonan tersebut telah dipertimbangkan secara serius, dan pihak mahkamah akhirnya bersetuju memberikan lanjutan kali terakhir kepada pihak pendakwa raya sehingga 6 Ogos ini.

“Mahkamah mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh pendakwa raya hari ini, 4 Julai, yang meminta tempoh memfailkan rayuan dilanjutkan untuk kali terakhir. Mahkamah memberi kebenaran lanjutan sehingga 6 Ogos depan dan mengingatkan pihak pendakwa raya supaya membuat keputusan sebelum tarikh berkenaan,” jelas jurucakap tersebut.

- IKLAN -

Susulan keputusan terbaru ini, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, bersama empat lagi rakan mereka—Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26—akan terus ditahan sementara menunggu keputusan muktamad pihak pendakwa raya.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kelima tempoh tahanan mereka dilanjutkan sejak mula ditahan pada 6 Mac lalu, dengan siri lanjutan sebelum ini pada 6 April, 6 Mei, 10 Jun, 6 Julai, dan kini 6 Ogos.

Pihak mahkamah juga menegaskan bahawa ini adalah lanjutan tempoh tahanan terakhir yang akan diberikan, serta meminta pendakwa raya memuktamadkan keputusan sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan.

Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya, semoga kebenaran segera terungkai.

Kredit – OhMyMedia, ApaKhabarTV