Inkues Zara Qairina: Bekas Guru Besar Didakwa Ugut Pakar Patologi Dalam Talian

Kota Kinabalu – Seorang bekas guru besar, Kamul Kamarudin, 61 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat hantaran ugutan terhadap pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menjadi saksi pertama dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurut kertas pertuduhan, Kamul didakwa menggunakan akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ untuk menulis hantaran yang bernada ugutan. Hantaran tersebut diterima dan dibaca oleh Dr Jessie sendiri pada 5 September sekitar jam 4.15 petang di Taman Luyang, Kota Kinabalu. Tertuduh ditangkap sehari selepas laporan polis dibuat oleh Dr Jessie dan terus disiasat pihak berkuasa.

VIDEO :

@buletintv3 Seorang bekas guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana membuat ancaman terhadap saksi inkues. #BuletinTV3 #ZaraQairina #kematianZaraQairina #Bekasgurubesar #AncampakarPatologi ♬ original sound – BuletinTV3

Di mahkamah, Kamul pada mulanya mengaku bersalah tetapi menukar pendirian selepas mendengar seksyen undang-undang berkaitan. Beliau akhirnya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim, dengan alasan tiada niat untuk mengugut mana-mana pihak dan berpegang kepada hak untuk membela diri.

- IKLAN -

Tindakan Kamul didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menggariskan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi berunsur mengancam, jelik atau ugutan dengan niat menimbulkan kegusaran atau gangguan kepada individu lain. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, denda tambahan RM5,000 sehari boleh dikenakan sekiranya kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lovely Natasha Charles bersama Eugenie Meredith Gilbert, memohon jaminan RM20,000 dengan dua penjamin tempatan. Peguam Elhanan James yang mewakili Kamul memohon jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh adalah pesara guru besar dan warga tempatan Sabah serta telah memberi kerjasama penuh kepada polis sejak ditahan pada 8 September lalu.

Mahkamah memutuskan tertuduh boleh diikat jamin RM20,000 dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu semua saksi pendakwaan. 29 September ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes pra perbicaraan.

Menurut laporan, insiden ini berlaku selepas Dr Jessie menjadi tumpuan awam ekoran keterangannya selama dua hari dalam inkues kematian Zara Qairina. Kes ugutan siber ini sekali lagi mengingatkan masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial dan menegakkan undang-undang komunikasi negara yang ketat dalam membanteras buli siber dan ugutan atas talian.

Sumber – HMetro