“Sampai bila tak nak bayar KWSP pekerja?” Gagal bayar caruman pekerja, Shuib mohon maaf tak sedia jawab

Kuala Lumpur: Pelawak dan usahawan Shuib akan memberi penjelasan mengenai dakwaan syarikat minuman yang diasaskannya, Bubble Bee dikatakan gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh yang ditetapkan pada petang ini.

Shuib ketika dihubungi berkata, buat masa ini dia enggan memberikan sebarang komen berhubung surat terbuka yang dikongsikan seorang individu tidak dikenali di aplikasi TikTok sehingga menjadi tular di media sosial.

“Berkenaan perkara itu saya akan jelaskan petang ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat beri sebarang kenyataan sekarang ini,”katanya kepada Harian Metro.

Menerusi kenyataan dalam surat terbuka berkenaan, Bubble Bee dikatakan menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan, namun tiada transaksi berlaku pada akaun para pekerja.

“Sampai bila tak nak bayar KWSP pekerja? Setiap bulan dalam slip gaji untuk EPF ditolak sedangkan dalam I-Akaun KWSP tiada transaksi kemasukan duit dibuat. Ke manakah duit yang hilang hasil daripada penolakan EPF di dalam setiap slip gaji pekerja tu?

“Pekerja bukan seorang dua tapi beratus. Benda ini menjadi tanda tanya semua orang yang bekerja di bawah syarikat anda. Masuk sahaja tahun 2023 tiada sebarang pembayaran KWSP dibuat. Kalau ada pun hanya satu bulan atau pun dua bulan sahaja, itu pun sekadar mengaburi mata pihak yang lain.

“Sekarang ini dah hampir ke penghujung tahun, ke manakah bayaran bulan bulan yang selebihnya itu ya? Sejak tahun 2021 sehingga 2022 tiada sebarang isu mengenai pembayaran KWSP ni tapi masuk je 2023 hal ini menjadi semakin melampaui batas,” tulisnya.

Bukan hanya itu, individu terbabit turut memberitahu syarikat itu juga dikatakan kerap lewat membayar gaji pekerja dan sudah membuat aduan di pejabat KWSP dan Jabatan Tenaga Kerja.

Lebih mengejutkan, individu itu turut menyertakan tangkap layar yang menunjukkan dia disekat daripada mengikuti akaun Shuib.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.